Skim Air Darul Ehsan merupakan satu usaha kerajaan Selangor untuk meringankan beban rakyat. Anda boleh menikmati air percuma untuk 20 meter padu jika pemohonan anda diluluskan. Persoalannya, apakah syarat-syarat untuk memohom skim ini? Ikutilah sedikit maklumat mengenainya di bawah.
Air merupakan salah satu keperluan manusia yang sangat penting. Ia digunakan secara menyeluruh dalam kehidupan manusia seperti minuman, mencuci mahupun pertanian.
Namun, kos sara hidup kali ini boleh dikatakan agak mencabar. Kadar inflasi, kenaikan harga barangan dan bahan api juga turut menaikkan kos sara hidup di negara ini.
Segalanya memerlukan wang. Yuran tempat letak kereta untuk rumah dan tempat kerja, tol dan banyak lagi. Komitmen-komitmen sebegini telah menyebabkan rakyat Selangor lebih terdedah untuk mengalami kemiskinan bandar.
Justeru, bagi mengatasi masalah kemiskinan bandar dan kebejatan ekonomi pada masa kini, kerajaan Selangor telah mengeluarkan satu penyelesaian kepada penduduk di negeri tersebut.
Untuk pengetahuan semua, Skim Air Darul Ehsan atau SADE merupakan salah satu program di bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) di bawah kelolaan kerajaan negeri.
Menurut Air Selangor, SADE adalah program penjajaran semula pemberian air percuma kepada kumpulan sasar penduduk Selangor warganegara Malaysia dengan pendapatan isi rumah RM 4,000 dan ke bawah.
Justeru menerusi skim ini, anda mungkin layak menerima air secara percuma sebanyak 20 meter padu untuk tempoh sebulan.
Walau bagaimanapun, permohonan dipilih berdasarkan beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri. Hal ini adalah untuk mengutamakan golongan yang benar-benar memerlukan bantuan ini.

Syarat-Syarat Skim Air Darul Ehsan
Pemohon perlu menepati syarat-syarat yang ditetapkan sebelum membuat permohonan. Pertama, pemohon mestilah seorang warganegara Malaysia DAN menetap di Selangor.
Selain itu, pendapatan bulanan bagi seluruh isi rumah adalah RM4,000 dan ke bawah (suami dan isteri termasuk pendapatan pasangan bukan warganegara, tiada pasangan atau bujang).
Seterusnya, premis kediaman anda mestilah menggunakan meter jenis individu. Akhir sekali, pemohon hanya boleh memohon menerusi satu akaun Air Selangor/ satu premis sahaja.
Perlu diingati, bagi pengguna akaun meter pukal dalam kategori pangsapuri kos rendah, anda akan terus menerima 20 meter padu air percuma di secara automatik di bawah skim ini sehingga 31 Disember 2024.
Difahamkan, pemberian secara automatik tersebut akan diberikan mengikut kaedah sedia ada yang melibatkan pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) serta Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS).
Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman web Air Selangor pada pautan ini.
Sumber: Air Selangor via Twitter