Siakap Keli

26 Tahun ‘Hilang’, Lelaki Dipercayai Ahli Terakhir Puak Tanaru Di Amazon Ditemui Meninggal Dunia

Lelaki dipercayai ahli terakhir dari puak Amazon, di Brazil yang digelar ‘The Man of the Hole’ ditemui meninggal dunia, setelah ahli puaknya dibunuh oleh pembalak dan pelombong haram berdekad-dekad lalu.

Menurut laporan Yayasan Indian Brazil (FUNAI), mayat lelaki tersebut ditemui dalam buaian di dalam pondok Selasa lalu oleh pegawai yang ditugaskan untuk pemantau Wilayah Orang Asli Tanaru, sebuah daerah terpencil di negeri Rondônia, Amazon Brazil barat.

Berdasarkan siasatan, dia dipercayai meninggal dunia di atas sebab semula jadi dan tiada sebarang tanda-tanda jenayah dikesan di lokasi mayatnya ditemui.

Bagaimanapun, media tempatan melaporkan ketika ditemui, mayatnya ditutup dengan penutup diperbuat daripada bulu burung macaw dan mendakwa berkemungkinan lelaki berkenaan menyedari bahawa ajalnya sudah semakin hampir dan membuat persediaan awal.

Selepas kehilangan semua orang yang dikenalinya, lelaki ini memilih untuk menyisihkan diri dari dunia luar dan menjalani kehidupan secara terpencil selama 26 tahun.

Sejak dari itu, tiada siapa pun yang pernah dapat berhubung dengan lelaki ini, namun penyelidik ada menemukan pondok jerami untuk didiami dan lubang dipercayai digalinya untuk dijadikan sebagai perangkap haiwan atau bersembunyi daripada ancaman. 

Berdasarkan bukti-bukti yang ditemui menunjukkan bahawa dia adalah satu-satunya ahli puak yang terselamat dan menjalankan aktiviti menanam jagung dan betik sebagai salah satu sumber makanan. 

Jelas pengarah penyelidikan dan advokasi Survival International, Fiona Watson, tiada yang tahu nama sebenar lelaki ini dan cerita disebalik suku kaumnya selepas tragedi pembunuhan beramai-ramai itu berlaku satu ketika dahulu. 

“Pembunuhan beramai-ramai itu sengaja dilakukan oleh penternak yang tamak kerana ingin merampas tanah dan kekayaan puak mereka yang tinggal di kawasan tersebut. 

“Kita hanya boleh membayangkan betapa ngerinya hidupnya dengan perasaan sunyi selepas semua puaknyaa terbunuh dan enggan dihubungi oleh sesiapa kerana hanya mahu tinggal sendirian di dalam hutan,” jelasnya, lapor New York Post. 

Terdahulu, kisah pembunuhan terhadap majoriti puaknya pada 1970-an oleh kumpulan penternak haram yang mahu merampas kawasan tanah yang didiami puak tersebut pernah menggemparkan dunia.

Pada pertengahan 90-an, saki-baki kecil puak Tanaru ‘dibantai’ pula oleh kumpulan pembalak dan pelombong haram yang datang meneroka kawasan didiami puak berkenaan.

BACA: Buat 1.6 Juta Penjawat Awam, PM Bakal Umum Berita Gembira Hari Ini

BACA JUGA: Berang Tak Dapat ‘Kawtim’ Saman, Tukang Meter Dirakam Dipercayai Cuba Potong Bekalan Elektrik Ke Balai Polis

Sumber: AFP

Faiz Mustafa