Kerajaan menaikkan kadar maksimum jumlah cuti rehat yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai (GCR) daripada 160 hari ke 180 hari. Pengumuman itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) pagi tadi.
Menurut kenyataan beliau, pihak kerajaan memahami beban tugas yang semakin besar dan mencabar dalam masa yang sama ramai anggota perkhidmatan awam yang tidak berjaya menghabiskan cuti rehat tahunan mereka.
Oleh itu, dengan kenaikan kadar maksimum GCR ini, ini membolehkan cuti tersebut disimpan bagi tujuan award wang tunai di masa persaraan sekaligus meningkatkan tunai di tangan bila tiba masa persaraan kelak.
Dalam pada itu, tambahan Kadar Cuti Rehat Khas sebanyak 5 hari menjadikan jumlah Cuti Rehat Khas 15 hari setahun juga diberikan kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun.
“Tambahan Cuti Rehat Khas sebanyak 5 hari ini akan memberi manfaat kepada lebih kurang 500,000 guru bagi urusan-urusan yang mustahak dan kecemasan yang dibenarkan serta memberi peluang guru-guru mengumpul jumlah GCR yang lebih tinggi,” jelasnya.
Selain itu, kerajaan juga bersetuju memperluaskan tafsiran ahli keluarga bagi kemudahan Cuti Tanpa Rekod urusan kematian ahli keluarga terdekat.
Menurutnya, jika sebelum ini cuti tanpa rekod bagi urusan kematian hanya tertakluk kepada kematian suami atau isteri, ibu kandung dan ibu mertua, bapa kandung dan bapa mertua serta anak sahaja.
Sumber: Bernama