Dijangka Terbang Lebih Sebulan, Ini Fakta Menarik Mengenai Misi ‘Roket Gergasi’ Artemis 1 Milik NASA
Seperti yang diketahui, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) sepatutnya melancarkan roket gergasi yang membawa kapsul ke bulan semalam tetapi ia ditangguhkan kerana mengalami masalah pada bahagian enjin.
Pelancaran roket itu merupakan sebahagian daripada misi Artemis 1 yang menjadi penanda aras bagi penerokaan terbaharu manusia ke bulan dan dijangka akan membantu membina sistem untuk meneroka planet Marikh.
Megaroket Sistem Pelancaran Angkasa Lepas (SLS) itu dirancang untuk menghantar kapsul Orion sebagai ujian untuk memastikan ia bersedia membawa angkasawan.
Menurut Space.com, NASA juga merancang untuk menguji roket itu bagi bersiap sedia untuk misi kru Artemis 2 mengelilingi bulan dan misi pendaratan Artemis 3.
Mungkin masih ramai yang tidak tahu dengan lebih terperinci mengenai misi Artemis ini. Justeru, mari kita ‘bongkar’ beberapa fakta menarik mengenainya.
1. Orion terbang lebih jauh berbanding mana-mana kapal angkasa sebelum ini

‘Suntikan’ trans-lunar akan menghantar Orion ke perjalanan sejauh 280,000 batu (450,000 kilometer) dari bumi.
Apabila semuanya dipastikan berjalan dengan lancar, Orion kemudiannya akan ditugaskan untuk menetap di orbit yang akan membawanya 100 kilometer di atas permukaan bulan pada titik terendah laluan itu.
Ia seterusnya akan menggunakan bulan untuk bergerak ke tempat yang lebih dalam daripada mana-mana kapal angkasa yang dibina oleh manusia sebelum ini.
Malah, Orion juga akan terbang lebih jauh daripada tiga angkasawan Apollo 13 pada tahun 1970.
2. Terbang selama lebih daripada sebulan

Bergantung kepada masa ia dilancarkan, Orion akan berada di angkasa selama 39 atau 42 hari.
Jika ia dilancarkan semalam (29 Ogos) atau pada 5 September ini, ia akan menjalankan misi selama 42 hari. Namun, jika ia dilancarkan pada 2 September, misi akan berlangsung selama 39 hari.
Perbezaan itu berlaku disebabkan oleh dinamik orbit yang memperlihatkan bumi dan bulan sentiasa bergerak antara satu sama lain.
3. Roket tidak pernah dilancarkan sebelum ini

Roket itu dikatakan menjadi roket yang paling berkuasa pernah dibina oleh NASA dan tidak pernah dilancarkan sebelum ini.
Tahap terasnya adalah lebih daripada 200 kaki tinggi dan ‘menara’ di atas dua penggalak menggunakan 2.76 juta liter hidrogen cecair supercooled dan oksigen cecair untuk menggerakkan enjin.
Ia juga telah melalui beberapa siri ujian termasuk ‘latihan pakaian basah’ pada Jun lalu.
4. Alexa turut berada di dalam Orion

Menurut laporan, peranti dari Amazon itu akan menjadi salah ‘seorang’ penumpang di dalam Orion. Ia akan membantu misi Artemis 1 dengan demonstrasi teknologi yang dipanggil Callisto.
Callisto yang turut menampilkan perisian persidangan video Webex Cisco itu akan menunjukkan kecerdasan buatan, teknologi suara dan demonstrasi video berasaskan tablet.
Menerusi kaedah itu, ia akan berhubung dengan pengeluar Orion, Lockheed Martin.
5. Kapal angkasa berkuasa solar pertama terbang ke bulan

Walaupun manusia telah menggunakan tenaga suria di angkasa sebelum ini, ia berada dalam lingkungan orbit bumi yang menggunakan Stesen Angkasa Antarabangsa.
Orion pula akan menggunakan tenaga suria berhampiran dengan bulan.
Dalam pada itu, modul perkhidmatan yang disediakan oleh Agensi Angkasa Eropah (ESA) mempunyai mandat untuk menyediakan oksigen, air dan kuasa kepada kapal angkasa Orion.
Kesemuanya akan tersedia melalui elektrik yang ditukar daripada mana-mana tenaga yang dikumpulkan oleh tiga tatasusunan suria daripada matahari kita.
6. Bawa 10 cubesats

Artemis 1 juga dilaporkan akan membawa satu set 10 cubesat yang akan digunkan dalam pelbagai misi mengkaji matahari, bulan dan juga asteroid berhampiran bumi.
Untuk pengetahuan, cubesats ialah jenis kapal angkasa yang agak kecil dan dibawa keluar ke sistem suria selepas berdekad-dekad lamanya ‘berkhidmat’ di bumi untuk menjalankan pemerhatian, telekomunikasi dan tujuan-tujuan yang lain.
Salah satu cubesat dipanggil sebagai NEA Scout yang akan menghabiskan masa selama dua tahun dalam perjalanan ke asteroid yang disasarkan.
Dikuasakan oleh layar suria, misi itu akan memeriksa asteroid dari jarak dekat. Apabila kapal angkasa mencapai jarak antara kira-kira 62 batu hingga 75 batu dari asteroid, kamera yang dipanggil sebagai NEACam akan merakam imej dalam resolusi 20 megapiksel untuk dihantar semula ke bumi.
7. Patung turut jadi ‘penumpang’

Walaupun tiada manusia yang akan berada di dalam Orion, kapal angkasa itu akan menjadi ‘tuan rumah’ kepada tiga patung yang dibekalkan oleh Eropah dan NASA.
Patung yang digelar sebagai Helga dan Zohar akan terbang dengan 5,600 penderia untuk mengukur sinaran. Ketika itu, Zohar akan memakai jaket perlindungan sinaran AstroRad untuk melihat sejauh mana perbezaan yang dihasilkan.
Manakala, patung ketiga yang dikenali sebagai Moonikan akan menilai tekanan ruang pada manusia semasa pelancaran, penerbanga angkasa dan pendaratan.
Sumber: Space.com