Siakap Keli
Kredit NASA MODIS Satelit

Impak Dilanda Banjir Dahsyat, Tasik Seluas 100km Dilapor Terbentuk Di Pakistan

Impak Dilanda Banjir Dahsyat, Tasik Seluas 100km Dilapor Terbentuk Di Pakistan

Imej baharu satelit mendedahkan bahawa sebuah tasik seluas 100 kilometer terbentuk di wilayah Sind, Pakistan, dipercayai impak daripada kejadian banjir dahsyat dan luar biasa yang melanda negara itu ketika ini.

Menerusi imej-imej yang diambil pada 28 Ogos lalu menggunakan MODIS NASA, ia menunjukkan keadaan gabungan hujan lebat dan limpahan air daripada Sungai Indus telah menenggelamkan sebahagian besar wilayah berkenaan.

Dalam gambar satelit itu, air banjir yang melimpah daripada Sungai Indus telah membentuk kawasan seluas sekitar 100km yang ditandai dengan warna biru tua. Kawasan berkenaan sebelum ini merupakan ladang pertanian.

Kredit NASA MODIS Satelit

Pendedahan imej tersebut mengejutkan banyak pihak memandangkan gambar yang diambil setahun sebelumnya hanya menunjukkan aliran sungai-sungai kecil yang digunakan untuk mengairi kawasan pertanian tersebut.

Media sebelum ini melaporkan hampir satu pertiga wilayah besar negara itu kini ditenggelami air. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan bencana ini sebagai “monsun steroid” yang membawa hujan paling lebat dalam sejarah dan telah mengakibatkan banjir yang meragut 1,162 orang dan hampir 3,554 cedera setakat ini. Bencana yang sama juga turut menjejaskan 33 juta orang sejak pertengahan Jun lalu.

Menurut Jabatan Meteorologi Pakistan, monsun yang melanda negara itu ketika ini merupakan yang terburuk pernah berlaku sejak 1961, dan dijangka hanya berakhir dalam tempoh sebulan lagi.

Misalnya, di kedua-dua wilayah Sindh dan Balochistan, jumlah hujan turun yang direkodkan adalah 500 peratus melebihi purata, sekaligus memberikan impak besar kepada kawasan perkampungan dan ladang pertanian.

Walaupun beberapa kawasan akan menerima cuaca kering dalam beberapa hari lagi, pakar berkata air banjir dijangka akan mengambil masa yang lebih lama untuk surut.

Menteri Perubahan Iklim, Sherry Rehman pada Ahad, berkata bahawa sebahagian Pakistan kini “menyerupai lautan kecil,” dan apabila bencana berakhir, satu perempat atau satu pertiga negara ini mungkin masih berada di bawah air.

BACA: 1/3 Pakistan Ditenggelami Banjir, “Macam Lautan, Tiada Lagi Daratan Kami Nak Pam Keluar Air”

Sumber: CNN

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.