Bawa anak penghidap Cerebral Palsy ke hospital, seorang ibu berkongsi pengalaman ditanya soalan sensitif dan taboo tentang kenan.
Anak merupakan anugerah yang tak ternilai yang diberikan oleh Yang Maha Kuasa untuk diamanahkan kepada ibu bapa. Setiap anak yang dilahirkan sudah ditentukan bagaimana rupa dan bentuknya. Ia merupakan kehendak dan ketentuan daripada Ilahi. Tiada sesiapa yang mampu menghukum ciptaanNya.
Setiap kelahiran anak ditunggu dengan penuh bermakna kerana ia merupakan detik terindah buat mereka yang bergelar ‘ibu bapa’. Anak-anak diijaga dan dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh, tidak kiralah sama ada mereka dilahirkan normal ataupun sebaliknya. Segala ciptaanNya adalah sempurna.
Sehubungan itu, janganlah kita menilai seseorang anak dari rupa bentuk fizikal luarannya sahaja, lebih-lebih lagi bagi mereka yang bergelar Orang Kurang Upaya (OKU). Biasanya, kanak-kanak OKU memiliki rupa fizikal yang sedikit ‘istimewa’ berbanding kanak-kanak normal.
Namun apa yang pernah terjadi kepada seorang wanita dan ibu kepada kanak-kanak OKU, Norazlinda Hamzah ini amat mengetuk hati dan minda kita semua. Beliau baru-baru ini berkongsi pengalaman berhadapan persepsi segelintir manusia terhadap anak istimewanya.
Apa yang menyedihkan, terdapat segelintir orang yang masih mempunyai persepsi ‘serong’ mengenai pesakit CP seperti anaknya. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, mari kita ikuti perkongsian yang dibawakan oleh Norzalinda Hamzah di bawah ini.
Bawa Anak ‘Celebral Palsy’ Ke Hospital Tapi Orang Risau ‘Kenan’, Ibu Hilang ‘Kata-kata’

Lama tak buat post panjang. Hari ni nak ceritalah sikit mengenai kesedaran dan taboo.
Baiklah. Sebenarnya dah lama Alisha ni tak ada appointment pagi sebab dah bertahun kes dia dipindahkan ke CP klinik (hasil usaha Dr Grace). CP klinik ni pada waktu petang dan terhad 1 pesakit untuk sejam dan disertai 5 pakar iaitu pakar perubatan, fisio, diet, bedah dah gigi.
Tapi, Dr Grace dah berpindah maka tiada lagi klinik CP untuk anak-anak CP Batu Pahat (tak ramai ya).
Jadi hari ini, appointment Alisha jam 10.00 pagi tapi macam biasalah, pukul 9.30 baru akak balik rumah. Akak habiskan kelas pagi dulu, lepas tu balik siapkan dia, siapkan beg susu dia, pum pang pum pang dah 10.30.
Akak? Chill je drive tenang-tenang sampai hospital 11.00 pagi.
Ingatkan dah tak ada orang rupanya masih ada lagi ibu-ibu mengandung (rupanya klinik hari ni peads dan ibu mengandung di satu tempat).
Lepas daftar Alisha, akak tolak dia duduk kat tepi, jujur tangan akak sakit sangat, muka dah tak rupa orang dah dengan peluh dengan tudung dah herot sebab angkat stoller, pasang stroller, tolak dia (jauh ok kami tak entitled untuk parking OKU) tambah perut lapar akak tak sempat teguk air pun.
Tapi, dalam keadaan akak keletihan macam tu tetiba ada seorang lelaki muda (awal 30-an mungkin) menegur.
“Awak, boleh tak awak jauhkan anak awak dari kawasan ini?”
Akak terus toleh mereka suami isteri. Pastu akak toleh Alisha bangun cium anak aku membuang ke? Tembus ke? Tapi tak ada wangi ok wangi.
Akak terus toleh dan tanya. Kenapa?
Jawapan dia, “Ni semua ibu-ibu mengandung, awak bawak anak awak macam ni ke sini, awak tahu tak boleh terkenan pada anak-anak kami?”
Akak blur gaiz. Blur. Akak hilang kata. Akak toleh dia akak terus cakap dengan tenang.
“Jangan risau. Awak tak akan dapat anak macam ni sebab awak tak hebat macam saya, orang hebat je leh dapat anak macam ni. Awak? Lembik,”
Dan akak terus main phone. Last-last dia yang bangun.
Alahai dah 2022 masih ada lagi yang percaya kenan. By the way Alisha lawa je hari ni style je, wangi je (sebab dia sakau perfume mummy).
Akak dok terfikir sampai sekarang, apalah salah anak aku dan aku sampai pergi hospital pun tak boleh. Eh dia ingat best ke pergi hospital?
CP sejak lahir
Difahamkan, Alisha atau nama sebenarnya Nur Alisha Batrisya mengalami komplikasi Cerebral Palsy sejak lahir, berdasarkan perbualan ringkas bersama Norzalinda di Facebook baru-baru ini.
“Dia merupakan OKU terlantar yang perlu diuruskan 100 peratus. Beliau (Alisha) menghadapi komplikasi semasa proses kelahiran dan kekurangan oksigen sehingga merosakkan sistem saraf dan otak,” katanya kepada Siakap Keli.
Perkongsian tersebut tular dan meraih simpati ramai warganet, rata-ratanya berasa kasihan dengan apa yang berlaku.
Setiap orang pasti mempunyai pengalaman tersendiri dalam mendidik dan membesarkan anak lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai anak yang istimewa.
Seperti yang terjadi dalam kisah ini, amatlah diharapkan agar masyarakat kita mempunyai sensitiviti yang lebih tinggi tentang kanak-kanak OKU supaya kejadian sebegini tidak berulang lagi.
Sumber: Facebook Norzalinda Hamzah