DBKL rugi RM 700,000 pokok hiasan rosak semasa Perarakan Merdeka
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL ) pada hari ini memaklumkan bahawa pihaknya telah menanggung kerugian sebanyak RM 700,000 bagi pokok hiasan yang rosak ketika perarakan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-65 pada Rabu lepas.
Menurut Sinar Harian, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, kejadian itu berpunca oleh kehadiran jumlah pengunjung yang luar biasa untuk menyaksikan perarakan tersebut.
Selain kerosakan pokok hiasan, kelihatan sampah sarap seperti botol minuman juga ditinggalkan di tepi jalan dan sekitar kawasan landskap oleh pengunjung yang hadir pada sambutan tersebut.
Ketika ini, DBKL sedang mencari jalan untuk menguruskan perkara ini, ia merupakan cabaran yang perlu ditangani.
Beliau seterusnya berkata, perkara ini menjadi pengajaran kepada DBKL dan mesyuarat ‘post mortem’ (bedah siasat) akan diadakan pada minggu hadapan untuk membincangkan dari segi persiapan, pengendalian untuk membantu Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKOM) menguruskan Hari Kemerdekaan Malaysia.
“Dari situ kita akan keluarkan (pelan) tindakan dan penyelesaian jika kita mengadakan acara lain di Dataran Merdeka pada masa akan datang,” katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-65 disambut meriah di Dataran Merdeka. Setelah beberapa tahun Hari Kemerdekaan disambut sederhana berikutan Covid-19. Justeru, ramai orang mengambil peluang untuk menyaksikan kemeriahan sambutan Kemerdekaan pada kali ini.
Bagaimanapun, kemeriahan itu sedikit ‘tercemar’ apabila landskap hijau yang diuruskan DBKL di lokasi sambutan rosak akibat dipijak.
Sumber: Sinar Harian