Pihak polis telah berjaya mengesan pemandu sebuah kereta yang disyaki terlibat dalam insiden langgar lari hingga menyebabkan seorang pegawai imigresen meninggal dunia pagi tadi, lapor Kosmo!.
Menurut maklumat pihak polis, pemandu tersebut menggunakan kereta jenis Proton Wira Aeroback sewaktu kejadian itu yang berlaku di Kilometer 83.4 Lebuh Raya Utara-Selatan.
“Kereta berwarna perak itu dikesan melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol Gurun.
“Kita sedang meneliti dan menyemak nombor pendaftaran kereta untuk mengetahui sama ada pemiliknya sendiri atau individu lain yang
memandu semasa kejadian,” maklum Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan.
Jelas Zaidy, suspek disyaki melarikan diri selepas kejadian itu berlaku dan belum tampil membuat laporan polis setakat ini, katanya menerusi Kosmo!.
Lapor Kosmo! lagi, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan pemandu dan kereta berkenaan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Juzaili Ismail di talian 019-5586668, jelas Zaidy.
“Orang ramai juga boleh menghubungi Pejabat Pertanyaan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuala Muda di talian 04-4232222 untuk membantu siasatan,” katanya.

Memetik laporan Bernama petang tadi, seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) maut manakala rakan setugasnya mengalami patah kaki selepas terbabit dalam kemalangan berhampiran susur keluar ke Plaza Tol Gurun, dekat sini pagi tadi.
Mangsa yang maut adalah Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Muhammad Nizam Samsudin, 46, manakala mangsa yang cedera merupakan Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan Zaili Nizam Muhammad, 43.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata dalam kejadian yang berlaku pada 9.30 pagi itu, kedua-dua mangsa yang bertugas di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang masing-masing menunggang motosikal jenis Kawasaki KLE650-C.
“Kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah Selatan menghala ke Utara, sampai di lokasi kejadian sebuah kereta yang bergerak dari arah sama telah melanggar bahagian belakang motosikal yang ditunggang Muhammad Nizam menyebabkan motosikal itu hilang kawalan dan terbabas ke lorong kecemasan.
“Dalam masa yang sama motosikal yang ditunggang rakannya, Zaili Nizam yang berada di lorong kecemasan tidak sempat mengelak dan terlanggar motosikal Muhammad Nizam yang telah terjatuh di lorong kecemasan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
BACA JUGA: Pegawai Imigresen Maut, Dilanggar Kereta Dari Belakang
Sumber: Kosmo!