IPOH, 5 Sept (Bernama) — Orang ramai yang mengunjungi tempat percutian dan perkelahan khususnya di sungai di negeri ini sempena cuti sekolah ketika ini dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata ini kerana fenomena kepala air dibimbangi berlaku di lokasi percutian berhampiran sungai dan laluan air.
“Pada 28 Ogos lepas, satu kemalangan yang berpunca daripada kepala air yang deras dari hulu sungai di Burmese Pool, Bukit Larut, Taiping telah dilaporkan, yang meragut nyawa seorang lelaki.
“Hasil daripada operasi mencari, mangsa ditemukan kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian. Dibimbangi fenomena ini boleh berlaku di beberapa lokasi percutian berhampiran sungai atau laluan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung supaya memastikan harta benda ditinggalkan dalam keadaan selamat selain memastikan rumah dikunci, melaporkan di balai polis berhampiran serta menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi memaklumkan ketiadaan di rumah.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya terus mengamalkan pemanduan selamat dan berhemah sepanjang di jalan raya dengan mematuhi peraturan dan undang-undang,” katanya.
Sumber: BERNAMA