Siakap Keli
Gambar: Bernama via Google

22 Lokasi Disenarai Berisiko Kepala Air Di Terengganu, Ini Empat Petanda Awal Perlu Waspada

Seperti yang diketahui, fenomena kepala air seringkali berlaku lebih-lebih lagi sewaktu musim tengkujuh yang merisikokan nyawa para pengunjung terutamanya di kawasan rekreasi.

Fenomena alam tersebut berlaku dengan sangat pantas ditambah pula orang awam yang tidak peka dan sedang bermandi-manda di kawasan rekreasi meletakkan diri mereka dalam risiko.

Tambahan lagi, perubahan cuaca yang tidak menentu juga meningkatkan lagi bahaya kepada para pengunjung.

Menerusi satu perkongsian foto Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar di Facebook memaparkan sebanyak 22 kawasan berisiko berlaku fenomena kepala air dan petanda awal.

Dalam infografik tersebut, beberapa daerah di negeri Terengganu disenarai sebagai kawasan risiko berlaku kejadian kepala air.

Di Besut, kawasan yang berisiko adalah Air Terjun Lata Tembakah, Air Terjun Lata Belantan, Kolam Air Panas (La Hot Spring) dan Lata Kolam Air Deru Ecopark.

Manakala di Setiu pula termasuk Lata Ulu Kasar, Lata Ulu Kekabu, Lata Chakah dan Lata Payung.

Selain itu, Hulu Terengganu mencatatkan lima kawasan berisiko antaranya Air Terjun Sekayu, Air Terjun Juwita, Air Terjun Saok, Air Terjun Lasir dan Air Terjun Belukar Bukit.

Sungai Loh, Sungai Kelemin, Air Terjun Langsir, Air Terjun Chemerong dan Air Terjun Lubuk Kain merupakan kawasan berisiko di Dungun.

Di daerah Kemaman pula, Hutan Lipur Menderu, Air Terjun Jeram Tanduk, Sungai Air Puteh dan Sungai Cherul termasuk dalam kawasan berisiko terjadi fenomena alam itu.

Gambar: Facebook Dr. Ahmad Samsuri Mohktar

Sementara itu, terdapat empat petanda awal yang perlu dititikberatkan oleh pengunjung sebelum terjadinya fenomena kepala air.

4 petanda awal kepala air

Antara tanda awal berlaku kepala air seperti bunyi deruan air yang kuat, perubahan air daripada jernih kepada keruh, air berbuih serta-merta membawa sampah dan peningkatan paras air secara mendadak.

BACA JUGA: Detik Cemas, 32 Terperangkap Dilanda Kejadian Kepala Air Di Lata Ulu Kasar

Memetik laporan laporan Bernama sebelum ini, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat turut menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada.

Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Terengganu, Md Hilman Abd Rashid juga menyeru Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar meletakkan papan amaran mengenai fenomena kepala air di lokasi berisiko.

Bagi orang ramai yang mahu berkunjung ke tempat peranginan, sentiasalah peka dengan keadaan sekeliling dan berhati-hati dari sebarang risiko yang tidak sepatutnya.

Terdahulu, seramai 32 individu termasuk 13 kanak-kanak berjaya diselamatkan selepas terperangkap dalam kejadian kepala air di Lata Ulu Kasar Jumaat lalu.

Sumber: Facebook Dr. Ahmad Samsuri Mohktar

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?