Honda Baharu Musnah, Treler Terbakar
Empat buah kereta dipercayai berjenama Honda model baharu dilapor musnah apabila sebuah treler yang membawanya terbakar di Kilometer 227.2, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah Utara petang tadi, lapor Utusan.
Dalam kejadian yang dilapor berlaku di kawasan berhampiran sempadan Negeri Sembilan-Melaka itu, sebanyak empat buah kenderaan baharu jenama tersebut didapati musnah ditelan api yang marak.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd Izwan Md Said, pihaknya bersama sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota dan Alor Gajah, Melaka dikerahkan ke lokasi kejadian.
Difahamkan, kesemua unit bomba dari ketiga-tiga balai tersebut bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan orang awam pada pukul 5:20 petang sebelum itu.
Jelas Mohd Izwan, sebaik saja anggota tiba, bahagian belakang lori treler bersendi tersebut yang membawa enam buah kereta Honda baharu didapati sudah terbakar.
“Secara keseluruhannya, terdapat enam buah kereta di atas kenderaan berkernaan. Empat daripadanya musnah 100 peratus, sebuah terbakar 50 peratus dan sebuah lagi tidak terbakar.
“Sehingga pukul 6.25 petang ini, operasi masih berjalan dan punca serta jumlah kerugian juga masih dalam siasatan,” katanya dihubungi Utusan hari ini.
Terdahulu, tular dalam media sosial satu video kebakaran melibatkan sebuah trak dan kereta honda di media sosial.
Sumber: Utusan