Wanita Alami Alahan Serius, Digigit Lipas Semasa Tidur
THAILAND – Seorang wanita mengalami reaksi alahan yang serius akibat digigit lipas ketika tidur dalam satu kejadian di wilayah Kanchanaburi, bahagian tengah Thailand baru-baru ini.
Pada awalnya, wanita berbangsa Burma (mangsa) berusia 40 tahun itu terjaga daripada tidur secara mengejut kerana berasa seperti digigit sesuatu, sebelum turut mengejutkan suaminya.
Kemudian, suaminya menghidupkan lampu untuk mencari kelibat seekor lipas besar yang berkeliaran dari katil ke tandas, lalu bertindak lebih berani dengan mengejar dan membunuhnya sebelum ‘menyumbatkannya’ ke dalam beg plastik.
Sementara itu, mangsa menghubungi Pasukan Penyelamat Khun Rattanawut dan mengadu bahawa dia telah digigit pada lutut dan berasa sakit di seluruh badannya, selain turut sakit kepala, alami ruam kulit dan berasa pening.
Difahamkan, pasukan penyelamat itu datang ke rumahnya untuk memberikan pertolongan cemas sebelum membawanya ke hospital.
Salah seorang penyelamat, Persia Jongtawan, menyiarkan gambar lipas itu di Facebook dengan kapsyen yang bertulis, “Digigit lipas. Tidak pernah melihat perkara seperti ini sebelum ini,”

Pulih, tapi lipas disimpan
Dalam pada itu, selepas menerima rawatan dan suntikan serta bermalam semalaman di hospital, mangsa akhirnya dilaporkan telah pulih seperti sediakala.
Tambahnya, dia tidak mengambil sebarang pil untuk rawatan, selain janji temu (appointment) susulan di hospital juga tidak diperlukan.
Mangsa turut mengakui kesakitan gigitan tersebut masih dirasainya walaupun sudah pulih, namun katanya dia tetap boleh pergi bekerja seperti biasa.
Berbalik kepada si pemangsa, wanita itu menjelaskan bahawa lipas yang dikejar, dibunuh dan ‘disumbat’ dalam beg plastik oleh suaminya itu akan disimpan sebagai ‘kenangan’.
Sementara itu, seorang profesor Jabatan Sains Pertanian dari Universiti Mahidol, Kampus Kanchanaburi, Chayanut Kaewmanee berkata, makhluk perosak itu ialah dari spesies lipas Amerika yang biasa ditemui di Thailand.
Chayanut melaporkan, lipas akan menggigit manusia hanya jika terdapat sisa makanan yang melekat pada kulit atau di kuku.
Beliau menyarankan agar sesiapa individu yang digigit lipas supaya bersihkan luka dengan air bagi mengelakkan jangkitan bakteria dan kuman daripada makhluk perosak tersebut.
Sumber : The Thaiger