Harga Minyak Naik 30 Peratus, Rakyat Indonesia Turun Ke Jalan Buat Protes
Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di bandar-bandar besar Indonesia sebagai tanda protes dan menuntut kerajaan membatalkan kenaikan harga bahan api bersubsidi pertama kali dalam tempoh lapan tahun semasa kadar inflasi sedang melambung tinggi pada Selasa, 6 September 2022.
Disebabkan tekanan untuk mengawal bajet subsidi tenaga yang melonjak, Presiden Joko Widodo berkata beliau tidak mempunyai pilihan lain selain menaikkan harga bahan api bersubsidi sebanyak lebih kurang 30 peratus di negara ini yang mempunyai lebih 270 juta penduduk itu.
Memetik CNA, harga minta kira-kira 32 peratus lebih tinggi berbanding setahun yang lalu.
Protes tersebut berlaku di sekitar ibu kota Jakarta, bandar Surabaya, Makassar, Kendari, Aceh dan juga Yogyakarta. Ia merupakan antara siri tunjuk perasaan yang diketuai oleh pelajar dan kumpulan buruh. Menurut polis, dijangka lebih ramai orang awam terpengaruh untuk menyertai protes berkenaan.
Dalam pada itu, para anggota polis telah dikerahkan ke seluruh Jakarta untuk mengawal stesen-stesen minyak di sana kerana bimbang ia akan menjadi sasaran seterusnya penunjuk perasaan yang berang dengan keputusan kenaikan harga dalam masa sama akan menjejaskan para pekerja dan golongan miskin bandar.
Difahamkan, perhimpunan itu juga berlaku pada hujung minggu lalu dan Isnin dengan mereka telah membakar tayar serta menyebabkan kesesakan lalu lintas di beberapa kawasan yang terlibat dengan perhimpunan itu.
BACA: Ahli Parlimen Australia Curi Tumpuan, Berucap Guna Bahasa Melayu Dalam Parlimen
Sumber: CNA