Bayi 5 Bulan Cedera Ditembak Kanak-Kanak Berusia 3 Tahun
AMERIKA SYARIKAT – Seorang bayi dilaporkan telah ditembak secara tidak sengaja oleh seorang kanak-kanak di sebuah rumah di Florida, lapor Xinhua.
Kejadian itu telah menyebabkan wanita, 25 tahun yang menjaga kanak-kanak berusia 3 tahun itu dan bayi 5 bulan itu didakwa atas kesalahan cuai, menurut polis.
Jabatan Polis Tampa dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian sekitar jam 1:00 tengah hari selepas menerima panggilan berkenaan bayi itu telah ditembak.
Dilaporkan bahawa wanita yang merupakan penjaga kanak-kanak tersebut telah ditahan oleh polis dan didakwa atas kesalahan mengabaikan kanak-kanak.
Sementara itu, bayi itu dilaporkan telah dibawa ke Hospital Besar Tampa dan hanya mengalami kecederaan ringan serta telah dirawat.
Menurut keterangan wanita tersebut, kanak-kanak berusia 3 tahun itu sedang memegang senjata api dan secara tidak sengaja telah menembaknya.
Pegawai polis kemudiannya cuba menyimpulkan bagaimana kejadian tembakan itu berlaku dan tidak mendedahkan hubungan antara wanita dan dua kanak-kanak itu.
Pada hari Selasa, wanita itu telah dimasukkan ke dalam penjara dan dikenakan denda berjumlah 15,000 dolar AS (RM67522.50).
“Walaupun kami sangat bersyukur bayi ini tidak cedera parah, namun harus diingatkan kepada setiap ibu bapa atau penjaga untuk memeriksa senjata mereka supaya disimpan dengan betul,” menurut Ketua Polis Tampa Mary O’Connor.
“Kanak-kanak sepatutnya tidak boleh mengakses senjata api, dan senjata api harus sentiasa disimpan dalam peti besi berkunci dengan peluru disimpan secara berasingan,” kata O’Connor.
Menurut Arkib Keganasan Senjata, sekurang-kurangnya sembilan tembakan besar-besaran berlaku pada hujung minggu Hari Pekerja, dengan sekurang-kurangnya 10 kematian telah dilaporkan.
Tambahnya, tembakan besar-besaran itu telah mengakibatkan empat atau lebih individu ditembak mati dan perkara demikian berlaku di seluruh negara pada hujung minggu cuti, termasuk Chicago, Illinois; Norfolk, Virginia; dan Charleston, Carolina Selatan, serta yang lain.
Sumber : Xinhua