Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memaklumkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) naik kepada 2.50 peratus dengan kenaikan mata asas sebanyak 25.
Menurut BNM, kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.
Keputusan itu telah dibuat oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) selepas mengadakan mesyuarat selama dua hari sejak semalam.
Kenaikan kadar OPR itu dikatakan bagi memastikan ekonomi global terus berkembang meskipun pada kadar yang sederhana ekoran tekanan kos yang semakin meningkat, keadaan global yang lebih ketat serta sebagai langkah langkah-langkah pembendungan yang ketat di China.
Bagaimanapun, pertumbuhan global terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik dan pembukaan semula sepenuhnya bagi kebanyakan ekonomi dan sempadan antarabangsa.
The Bank's Monetary Policy Committee today decided to increase the Overnight Policy Rate (OPR) to 2.50%. Read our official statement here: https://t.co/eBcKOr5p8G
To learn more about the OPR, visit our FAQs: https://t.co/yZWkoFV4Vm
#OPR #BNM pic.twitter.com/kCtGLjHoyv
— Bank Negara Malaysia (@BNM_official) September 8, 2022
“Tekanan inflasi kekal tinggi disebabkan oleh harga komoditi semakin meningkat dan pasaran pekerja yang ketat, meskipun keadaan rantaian bekalan global semakin bertambah baik.
“Kesannya, bank-bank pusat dijangka terus membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka bagi mengurangkan tekanan inflasi, dengan sesetengah bank pusat melakukannya pada kadar yang lebih cepat.
“Khususnya, pelarasan kadar faedah AS yang agresif telah menyumbang kepada persekitaran dolar AS yang kukuh. Hal ini telah menyebabkan volatiliti yang lebih ketara dalam pasaran kewangan, lantas memberikan kesan terhadap mata wang pasaran utama dan pasaran sedang pesat membangun lain termasuk ringgit,” jelas BNM dalam satu kenyataan.
Cabaran pertumbuhan global
Tambahnya lagi, pertumbuhan global juga diramal pada masa hadapan bakal menghadapi cabaran daripada kesan-kesan dasar monetari yang diperketat dalam kebanyakan ekonomi serta langkah-langkah pengurusan pandemik di China.
Sehubungan itu, prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, termasuk tekanan kos yang tinggi, kemungkinan berlakunya krisis tenaga di Eropah dan keadaan pasaran kewangan menjadi ketat secara mendadak.
“Bagi ekonomi Malaysia, peralihan ke fasa endemik dan langkah-langkah dasar telah menyumbang kepada prestasi pertumbuhan yang lebih kukuh pada suku kedua tahun 2022.
“Pada masa hadapan, penunjuk menunjukkan pertumbuhan yang berterusan, disokong oleh perbelanjaan sektor swasta. Keadaan pasaran pekerja dan prospek pendapatan terus positif, dengan pengangguran dan guna tenaga tidak penuh (underemployment) terus berkurang.
“Pembukaan semula sempadan antarabangsa akan meningkatkan sektor berkaitan pelancongan. Aktiviti dan prospek pelaburan akan disokong oleh pelaksanaan projek berbilang tahun,” kata BNM.
Walaupun permintaan luaran dijangka sederhana berikutan pertumbuhan global yang semakin perlahan. Namun, volatiliti dalam pasaran kewangan global dan pertukaran asing meningkat, perkembangan ini dijangka tidak akan menjejaskan pemulihan pertumbuhan Malaysia.
Keadaan mudah tunai domestik terus mencukupi, dengan pasaran kewangan dan pasaran pertukaran asing terus berfungsi dengan teratur. Institusi kewangan juga terus beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh.
Hal ini akan memastikan pengantaraan kewangan terus menyokong ekonomi. Pada masa hadapan, risiko pertumbuhan ekonomi dalam negeri menjadi perlahan terus berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang semakin meruncing dan gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk.
Inflasi keseluruhan berpurata pada 2.8%
Sejak awal tahun hingga kini, inflasi keseluruhan berpurata pada 2.8%. Inflasi keseluruhan diunjurkan mencapai tahap tertinggi pada suku ketiga tahun 2022 sebelum menurun selepas itu.
Hal ini disebabkan oleh kesan asas yang semakin luput dan juga sejajar dengan harga komoditi global yang dijangka semakin menurun.
“Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka berpurata lebih hampir pada tahap tinggi dalam julat unjuran 2.0% hingga 3.0% pada tahun 2022, dengan beberapa tanda wujudnya tekanan yang didorong permintaan dalam keadaan kos yang tinggi.
“Kesan tekanan inflasi menjadi lebih tinggi juga sebahagiannya akan terus dibendung oleh kawalan harga yang sedia ada, subsidi bahan api dan lebihan kapasiti yang masih wujud dalam ekonomi,” ujar BNM lagi.
Walaupun prospek inflasi terus dipengaruhi oleh langkah-langkah dasar dalam negeri serta perkembangan harga komoditi global yang disebabkan terutamanya oleh konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine dan gangguan berkaitan bekalan yang berlarutan.
Namun, prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang positif terus kukuh dengan MPC mengambil keputusan untuk membuat pelarasan selanjutnya terhadap tahap akomodasi monetari.
“Pada kadar OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi. MPC tidak membuat sebarang ketetapan awal serta akan terus menilai keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
“Sebarang pelarasan pada penetapan dasar monetari pada masa hadapan akan dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil.” kata BNM.
Sumber: Bank Negara Malaysia