Siakap Keli
Gambar: Sinar Harian

Penyanyi Veteran, Datuk M Daud Kilau Alami Sesak Nafas, Dilapor Kritikal

Artis veteran Malaysia, Datuk M Daud kilau dilaporkan mengalami sesak nafas pada malam Rabu dan dihantar ke Hospital Teluk Intan sekitar jam 12 malam Rabu. Beliau kini sedang menerima rawatan di hospital tersebut dan berada dalam keadaan separuh sedar dan kritikal.

Anaknya, Ahmad Zaini, 51, berkata, bapanya terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan dan masih lagi berada dalam pemantauan rapi oleh doktor dan pihak hospital.

“Doktor maklumkan kepada keluarga bahawa Dato (M Daud Kilau) kritikal, ada masalah paru-paru berair.

“Kami sekeluarga membenarkan doktor untuk membuat CPR (bantuan pernafasan kecemasan) dan masukkan tiub bagi membantu pernafasannya,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis, lapor Sinar Harian.

Difahamkan, dua tahun lalu beliau pernah menjalani prosedur pembedahan angioplasty di Institut Jantung Negera (IJN) Kuala Lumpur.

Sebelum ini, pelantun lagu Cek Mek Molek yang terkenal ini ada menyatakan hasrat untuk terus menghiburkan para peminatnya, namun terpaksa melupakannya hasrat tersebut ekoran keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Kali terakhir beliau beraksi di atas pentas adalah pada enam tahun yang lalu. Selepas dari itu, beliau tidak lagi aktif dalam dunia hiburan walaupun masih menerima jemputan untuk melakukan persembahan.

Sumber: Sinar Harian

Faiz Mustafa