Sedih sehingga menitis air mata, itu reaksi yang ditunjukkan penonton di Indonesia ketika menonton tayangan malam gala filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan di Jakarta baru-baru ini.
Seperti yang dikongsikan di laman Facebook Filem Mat Kilau, reaksi ‘air mata’ itu dirakam dari jauh ketika masing-masing sedang ‘khayal’ menonton filem epik berkenaan.
Menurut salah seorang penonton, dia berlaku jujur mengatakan bahawa jalan penceritaan seperti filem itu amat jarang dihasilkan oleh pengarah di Indonesia sebelum ini.
“Sangat unik, di Indonesia sangat jarang cerita seperti ini ditayangkan,” katanya yang turut meletakkan filem itu sebagai sebuah karya layar perak yang unik.
Selain itu, ada juga penonton meluahkan dirinya dapat menghayati perjuangan orang-orang zaman dahulu yang menentang kuasa penjajah di tanah air sendiri.
“Menonton Mat Kilau terasa perjuangan untuk bertahan dan melawan pihak British itu ternyata amat sukar,” katanya.
Dalam pada itu, nilai sentimental penonton lebih bertambah ‘dalam’ apabila filem tersebut turut menampilkan pelakon aksi silat kebanggaan Indonesia, Yayan Ruhian yang memegang watak sebagai Toga.
Sehubungan itu, kebanyakan penonton memberi rating tinggi supaya filem berbentuk sejarah seperti Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan banyak dihasilkan dan diterbitkan di pawagam-pawagam Indonesia pada masa akan datang.
Turut hadir bersama pada tayangan malam gala itu ialah penerbit dan pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali bersama Syamsul Yusof serta barisan pelakon seperti Dato’ Adi Putra, Fattah Amin, Yayan Ruhian dan Johan As’ari.
Sesuatu yang turut menarik perhatian pada tayangan malam gala itu adalah kehadiran sekumpulan penonton dari Kepulauan Riau yang hadir dengan berbusana lengkap Baju Melayu siap bertanjak dan bersongket.
Difahamkan, filem tersebut ditayangkan di 200 pawagam di sekitar Indonesia bermula 31 Ogos lepas.
Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan pencetus fenomena
Difahamkan, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dikatakan sebagai filem Melayu yang mencetus fenomena ekoran jalan ceritanya yang banyak memberi ledakan emosi serta pengajaran pada tahun ini.
Untuk rekod, sebanyak RM96 juta kutipan tiket berjaya diraih dalam tempoh 40 hari tayangan filem tersebut sehingga mencipta ‘sejarah’ baharu dalam dunia perfileman tanah air.
Sumber: FB Filem Mat Kilau