Selebriti Lelaki Ditahan, Untuk Siasan Kes Amang Seksual Terhadap Kanak-kanak & Remaja
Seorang selebriti lelaki ditahan polis di sekitar daerah Klang pada Khamis dipercayai untuk siasatan kes amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak dan remaja.
Menurut Sinar Harian, satu sumber memberitahu bahawa suspek berusia dalam lingkungan 40-an itu direman enam hari sehingga Rabu bagi menjalani siasatan lanjut.
“Selebriti berusia lingkungan 40-an itu ditahan untuk siasatan kes amang seksual terhadap beberapa kanak-kanak dan remaja bawah umur,” kata sumber itu pada Jumaat.
Mangsa-mangsa ini dikatakan berumur belasan tahun, lapor Sinar Harian lagi.
Menurut sumber itu lagi, siasatan masih lagi dijalankan bagi mengenal pasti lokasi daerah yang terlibat dalam kes tersebut.
Siasatan dijalankan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed mengesahkan penahan suspek seorang selebriti itu dan siasatan lanjut masih sedang dijalankan.
Sumber: Sinar Harian