Amerika Gantung Penghantaran Pesawat F-35, Kesan Kompenan Dibuat Guna ‘Bahan’ Dari China
Amerika Syarikat dilapor menggantung penghantaran jet pejuang F-35 yang baharu selepas mengesan ada komponen yang dipasang pada pesawat itu mengandungi bahan yang berasal dari China.
Setakat ini, lebih 825 jet pejuang F-35 yang dihasilkan dikesan mengandungi komponen, iaitu magnet pada bahagian sistem bekalan kuasa, yang dihasilkan daripada aloi yang berasal dari negara tembok besar itu.
Menurut pejabat program F-35, komponen aloi tersebut dibekalkan oleh Honeywell International dan telah digunakan sejak 2003.
Rabu lepas, Pentagon telah menggantung penghantaran pesawat-pesawat baharu F-35 bagi memastikan program penghasilan pesawat tempur generasi kelima itu mematuhi undang-undang ketat berhubung ‘komponen-komponen khas’.
Projek pembekalan dengan penghantaran mengjangkau lebih 3,300 unit itu kini menanti pelepasan antarabangsa daripada Pentagon untuk meneruskan penghantaran bagi pesawat-pesawat yang sudah siap dipasang.
Setakat ini, pasukan penyiasat program berkenaan tidak mencadangkan syarikat pengeluar menggantikan komponen magnet tersebut.
Hal ini kerana proses penggantian akan menelan kos yang tinggi dan memakan masa untuk kerja-kerja pengubahsuaian, termasuk melibatkan lebih 500 pesawat latihan dan operasi milik Amerika Syarikat.
Dilaporkan, jet F-35 yang mengandungi aloi tersebut bagaimanapun mungkin akan mendapatkan pengecualian keselamatan negara daripada pegawai tertinggi Pentagon.
Ia selepas magnet berkenaan tidak mempunyai sebarang kekurangan dari segi kemampuan teknikal dan tidak memberikan ancaman keselamatan kepada program pesawat halimunan Amerika atau barisan 8 juta ‘source code’nya.
Sebaliknya, siasatan seterusnya menjurus kepada persoalan mengapa pembekal tidak mematuhi arahan pembekalan yang ditetapkan kerajaan.
Pembekal memaklumkan pihaknya sudahpun menemui pembekal yang mampu membekalkan magnet berkenaan yang dihasilkan menggunakan aloi tempatan.
Amerika Syarikat dan Pentagon mempunyai undang-undang yang menghalang penggunaan komponen atau ‘aloi khas’ yang dihasilkan daripada sumber dari China, Iran, Korea Utara dan Rusia dalam aset-aset yang diperolehinya.
Negara itu menyifatkan negara-negara yang disenaraikan sebagai negara-negara yang mengancam keselamatan negaranya.
Sumber : The Straits Times