Amaran Air Pasang Besar Mulai Ahad, Penduduk Klang Diarah Bersedia
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Klang melalui satu kenyataan meminta penduduk di sekitar daerah Klang agar peka dengan fenomena air pasang besar dan monsun timur laut yang akan melanda hingga Disember depan bermula daripada bulan ini.
Kenyataan berkenaan dikongsikan sendiri oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor melalui satu hantaran di facebook rasminya.
Dilaporkan bahawa, fenomena air pasang besar dengan ketinggian 5.4 meter dijangka bermula pada 11 hingga 14 September dan 27 hingga 29 September 2022.
“Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang (JPBD) mengingatkan semua warga Klang untuk sentiasa Peka dan Cakna dengan keadaan semasa alam sekeliling.”
Justeru, orang ramai diminta sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan semasa cuaca dan mengikuti arahan lanjut yang dikeluarkan oleh agensi keselamatan bertanggungjawab.
“Sekiranya terdapat laporan berhubung kejadian bencana Warga Klang boleh menghubungi talian kecemasan seperti dilampiran.
“Bilik Gerakan Bencana Daerah Klang akan turut dibuka mulai Ahad (11 September 2022),” kata kenyataan itu lagi.

Sumber : Sinar Harian, Pejabat SUK Selangor