Siakap Keli
Berjaya Duduki SPM, Hafaz Al-Quran
Kredit: Bernama

Kanser Otak Sejak 10 Tahun Bukan Penghalang Hafaz Quran, Ambil SPM

Walaupun hidup berada di ‘hujung tanduk’ akibat menghidap penyakit kanser otak sejak berusia 10 tahun, keazaman Muhammad Ammar Azman untuk menuntut ilmu tidak pernah luntur.

Usaha tidak mengkhianati hasil, Muhammad Ammar turut berjaya memperoleh geran di bawah Program Pendidikan Anak-Anak Kakitangan Yayasan Sime Darby (YSD) bagi melanjutkan pengajian Diploma Pendidikan (Pengajian Islam) di Universiti Selangor (Unisel).

Anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu yang disahkan menghidap kanser otak ketika berusia 10 tahun, berjaya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menghafaz al-Quran.

Walaupun pada tempoh itu beliau terpaksa menjalani enam pembedahan serta menjalani sesi radioterapi bagi memerangi kanser yang dihadapi.

“Saya agak keberatan untuk menyambung pelajaran selepas SPM kerana ibu bapa saya terpaksa menanggung hutang yang banyak akibat kesihatan saya.

“Mengambil kira masalah kewangan yang dihadapi, saya beritahu mereka bahawa saya tidak kisah jika terpaksa menangguhkan pengajian saya tetapi mereka tidak terima.

“Saya bernasib baik kerana ibu saya merupakan kakiatangan Sime Darby Property Berhad, sekali gus melayakkan saya untuk mendaftar bagi geran YSD.

“Ia telah membuka jalan bagi saya melanjutkan pelajran dalam Pengajian Islam, yang saya amat minati,” katanya kepada media ketika ditemui Bernama selepas majlis penyerahan anugerah tersebut baru-baru ini.

Muhammad Ammar merupakan antara 3,026 penerima biasiswa pada Majlis Anugerah Biasiswa (SAC) tahunan YSD iaitu sebahagian daripada komitmen yayasan tersebut dalam menyediakan pendidikan inklusif dan berkualiti.

Majlis disempurnakan Pengerusi YSD Tunku Tan Sri Imran Tuaku Ja’afar dan Presiden OKU Sentral yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) Datuk Ras Adiba Radzi.

Muhammad Ammar, yang meminati pengajian al-Quran dan tidak teragak-agak lagi untuk melanjutkan pelajaran, disahkan bebas kanser sejak dua tahun lepas.

“Saya membaca al-Quran setiap hari dan bila ada peluang cuba menghafal setiap bacaan walaupun ia agak mencabar. Amalan itu telah menjadi rutin bagi saya.

“Bagaimanapun, paling penting tiada lagi sel kanser dikesan dalam tubuh saya, jadi sekarang saya boleh memberi sepenuh perhatian kepada pengajian diploma dan al-Quran saya,” katanya.

Bercita-cita menjadi guru pengajian Islam pada masa hadapan, Muhammad Ammar menggalakkan individu yang mempunyai pengalaman sama dengannya supaya tidak mudah putus asa dengan peluang pendidikan yang ada.

Dengan ‘Pendidikan untuk Semua’ sebagai tema tahun ini, SAC diadakan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bagi mencerminkan semangat dan aspirasi Keluarga Malaysia.

Sumber: Bernama

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.