Penangan memiliki wajah tampan, seorang peniaga muda membuktikan dengan hanya menjual pisang goreng di kaki lima, dia boleh berjaya meraih jualan ‘berjuta’ sebulan hingga boleh memiliki kereta dan motosikal sendiri.
Lapor Detik Food, Andi Saputra yang berasal dari Bogor, Jawa Barat telah viral di Tiktok ekoran dikatakan memiliki wajah yang tampan sehingga membuatkan ramai pelanggannya tidak fokus ketika membeli makanan.
Walaupun penjual makanan di tepi jalan sering dipandang remeh susulan dianggap tidak mempunyai pendapatan tidak tetap, namun tidak ramai tahu bahawa ia boleh mencapai angka jualan hingga ‘berjuta’ seperti yang dialami Andi.
Menurut Detik Food, Andi seorang yang rajin berniaga. Dikatakan dia berniaga hampir setiap hari bermula dari pukul 9 pagi hingga ke 10 malam di tepi jalan di Jalan Pemuda, Bogor sana.
Usahawa muda berusia 24 tahun itu menjual pelbagai jenis makanan seperti comro (makanan Indonesia), cireng, pisang goreng, tempe, gandasturi dan lain-lain. Menariknya, semuanya dibuat daripada ‘air tangannya’ sendiri.

Dedah Andi, proses membuat comro memerlukan sekurang-kurangnya satu guni ubi kayu diperlukan dalam sehari dan ia boleh habis digunakan.
Hampir setiap hari, perniagaannya dikatakan sentiasa dipenuhi orang ramai dan disebabkan itu dia mendapat angka jualan yang banyak sehingga mencecah ratusan juta dalam sebulan.
Daripada hasil jualan tersebut, Andi mampu membeli kereta, motor serta membina rumah di tanah yang dibelinya.
“Pada asalnya, saya hanya membeli tanah sahaja untuk membuat rumah.
“Kemudian hasil perniagaan yang memberangsangkan, saya beli bahan binaan untuk buat rumah dan Alhamdulillah rumah juga telah siap,” katanya memetik Detik Food.
Menurut Detik Food, angka jualan bagi makanan jenis churros sahaja pernah mencapai sehingga Rp 3,000,000 (tiga juta rupiah) sebulan, bersamaan kira-kira RM910.

Permulaan perniagaan
Imbas kembali temu bual bersama Youtuber Kawan Dapur, Andi memaklumkan dia pada asalnya bekerja dalam bidang penganjuran (event organizer) selama enam bulan.
Namun tidak lama selepas itu, dia berhenti dan memutuskan untuk mengusahakan perniagaan sendiri kerana baginya, orang bisnes (sendiri) memiliki masa yang fleksibel selain boleh untung banyak.
“Lebih baik menjual. Masa lebih fleksibel. Anda juga boleh hire pekerja dan dapatan jualan adalah sangat baik,” katanya dalam video temu bual bersama Kawan Dapur.
Semasa awal perniagaan dahulu, Andi hanya menjual satu jenis makanan sahaja iaitu martabak dan kemudiannya beralih menjual makanan bergoreng seperti senarai yang disebutkan tadi.
Pemuda tampan itu berkata, dia tidak terfikir bahawa perniagaan makanan bergoreng tersebut membawanya ke gerbang kejayaan.
Inspirasi untuk orang ramai
Video yang disiarkan oleh Kawan Dapur itu turut mendapat komen yang positif daripada orang ramai, malah menjadi inspirasi kepada mereka untuk memulakan perniagaan.
Penonton turut berasa gembira atas perjuangan Andi dan memuji keteguhannya dalam memulakan perniagaan.
“Masya Allah, muda lagi sudah kacak, kenapa malu sedangkan perniagaan itu halal dan hasilnya pun lebih besar dari kerja pejabat,” tulis netizen di ruangan komen.
Sumber: Detik Food