Seluruh Dunia Sama, Rupanya Ini ‘Punca’ Sebenar Semua Tayar Dicipta Berwarna Hitam
Di atas muka bumi ini, kita dikelilingi dengan objek pelbagai warna yang menjadikan dunia indah untuk dinikmati. Bermula daripada tumbuhan yang menghijau, langit dan laut yang membiru hinggalah bangunan-bangunan yang disapu cat dengan pelbagai warna.
Begitu juga dengan manusia dan kehidupan, tanpa kepelbagaian warna-warna kehidupan, dunia pasti suram.
Walaupun banyak ciptaan dihasilkan dalam pelbagai warna, namun masih ada satu lagi benda yang diciptakan hanya satu warna sahaja, tidak ada warna putih, biru, hijau dan sebagainya, hanya satu warna semata-mata.

Objek berkenaan adalah tayar kenderaan yang dicipta dengan warna hitam. Boleh dikatakan, di seluruh dunia, tayar semua kenderaan baik kereta, lori mahupun bas, semuanya pasti berwarna hitam.
Lalu, timbul pertanyaan, kenapa cuma warna hitam? Jom kita sama-sama kita rungkai.
Bagaimana getah dihasilkan?
Getah diperoleh daripada bahan berwarna putih yang melekit dikenali sebagai lateks yang berasal dari getah pokok. Untuk mendapatkan lateks ini, pokok getah perlu ditoreh. Sudah pasti, bagi mereka yang tinggal di kawasan-kawasan kampung, melihat orang menoreh getah bukan satu perkara yang asing.
Setelah ditoreh, cecair berwarna putih akan muncul dan mula mengalir menerusi tempat yang ditoreh. Kemudian, cecair tadi disimpan dan ditambah dengan cecair asid yang disebut juga sebagai cuka getah untuk menukarkan cecair getah tadi bertukar menjadi pepejal.

Memetik Science ABC, suhu memainkan peranan penting untuk memastikan cecair lateks keluar dan mengalir dengan sempurna. Jika terlalu panas, cecair lateks agak sukar untuk mengalir kerana ia akan bertukar menjadi pepejal. Jadi, ini lah sebabnya orang dulu-dulu yang menoreh getah keluar awal pagi.
Kenapa tayar diciptakan warna hitam?
Berdasarkan lawatan di salah sebuah kilang pembuatan tayar, perkara pertama yang dapat dilihat adalah satu ketulan besar getah putih asli yang dimasukkan ke dalam mesin. Benar, getah asli masih lagi kekal berwarna putih. Kemudian, anda akan dapat lihat pekerja kilang akan menambah beberapa getah sintetik yang juga tidak berwarna hitam.
Menurut Science ABC, bahan-bahan tadi akan mula bertukar warna hitam apabila pekerja kilang tersebut menambahkan satu lagi bahan yang disebut sebagai ‘carbon black’. Karbon hitam hanyalah karbon dalam bentuk zarah yang halus dihasilkan dari bahan api fosil yang dibakar tidak sempurna atau lengkap.

Difahamkan, karbon hitam merupakan salah satu bahan paling hitam pernah ditemui dan bahan utama yang menukarkan bahan pembuatan tayar tadi iaitu lateks kepada warna hitam.
Persoalannya, apakah fungsi dan keperluan karbon hitam dalam pembuatan tayar, selain menukarnya kepada warna hitam?
Karbon hitam merupakan salah satu bahan yang bertindak sebagai ejen penguat kepada tayar. Karbon hitam mampu meningkatkan daya ketahanan sebiji tayar. Selain itu, karbon hitam juga dapat mengurangkan tekanan haba pada bahagian utama tayar seperti bahagian bunga tayar. Apabila tayar bergerak di atas permukaan, haba akan terhasil akibat geseran yang berlaku dan akan menyebabkan tayar cepat rosak.
Betul ke semua tayar berwarna hitam?
Selepas melihat getah asli putih yang bertukar hitam semasa dalam proses pembuatan tayar setelah dicampurkan dengan karbon hitam, mungkin anda tertanya-tanya adakah tayar sentiasa hitam? Menjawab persoalan ini, Science ABC mengimbas kembali masa pada tahun 1900 di New York.
Walaupun pada ketika itu tidak terlalu banyak kenderaan atau kereta yang wujud, kebanyakkan kenderaan lain yang menggunakan tayar getah mempunyai tayar berwarna putih.
Pada zaman awal tayar getah dicipta, ia sebenarnya bermula dengan warna putih, kemudian disalut dengan jelaga untuk jadikan ia warna hitam untuk menguatkan daya tahan tayar. Zaman telah pun berganti, secara berperingkat pakar telah melakukan penyelidikan dan pengeluaran (R&D) dan menggantikan jelaga tadi dengan karbon hitam.
BACA: Pernah Jumpa Di Gunung Jerai, Gadis Dakwa Ada ‘Kembar’ Ular Emas & Selalu Bergurau Dalam Mimpi
Sumber: Science ABC