Siakap Keli

Gaji RM10k Tapi Asyik Tak Cukup, Baru Tengah Bulan Dah Habis Sampai Pinjam Member

Hidup di tengah kota besar, maka besar jugalah cabaran hidupnya. Serba-serbi perlu diusahakan berlipat kali ganda. Ada sahaja yang diri rasa kurang. Walaupun makan gaji besar, namun, hidup masih dibelenggu masalah dan jiwa sentiasa diburu perasaan kusut.

Itulah yang dihadapi oleh seorang lelaki bernama Megat. Bergelar seorang pengurus di sebuah syarikat dan mempunyai pendapatan tetap melebihi RM 10,000 setiap bulan, ia masih tidak menjamin kesenangan yang didambakannya sebelum ini. Rumah besar sudah ada, keluarga pun sudah dibina, isteri seorang yang setia, anak-anak pula sentiasa ceria, bila bercuti tempatnya ke tempat orang kaya-kaya, tetapi bahagia dalam dirinya seolah-olah tidak terasa atau lebih parah, tidak ada.

“Mana lagi silap yang aku buat ni?’’, mengelamun Megat sambil merenung semua harta yang dimilikinya.

Gambar Hiasan: Booking.com

Bertambah gusar, apabila Megat selalu melihat senyuman yang terukir di wajah-wajah rakan sepejabatnya lebih ikhlas daripada dirinya. Padahal, sebagai pengurus dia tahu bahawa mereka ini semuanya bergaji jauh lebih rendah daripadanya.

“Ishh, mereka tak ada masalah apa-apa dalam hidup ke? Padahal gaji dua tiga ribu je sebulan. Itu kalau aku, bayar hutang kereta dan rumah, terus kosong baki dalam akaun tu,’’ monolog Megat suatu hari di pejabatnya.

Megat terus membandingkan dirinya dengan apa yang dilihat. Rakan sepejabat hanya bawa bekal yang dimasak isteri untuk mengisi perut di siang hari, dia pula tak sah kalau tak pijat restoran mahal walaupun hanya semata-mata untuk secawan kopi. Mereka ke pejabat hanya menunggang motosikal, dia pula sepanjang berkhidmat di syarikat itu, setitik hujan pun tak pernah kena apabila ke tempat kerja.

Anehnya bagi Megat, dengan segala pancaroba yang perlu ditempuhi di atas jalan dan di tempat kerja, gaji kecil dan sebagainya, tetap orang bawahan lebih menikmati kehidupan berbanding dirinya yang sentiasa gundah gulana.

Itu belum buka cerita pasal perbelanjaan bulanan. Kalau nak diikutkan dengan logik akal, isteri Megat juga bekerja dan mempunyai pendapatan yang agak lumayan. Sepatutnya, duit bukan lagi satu masalah. Tetapi semua itu hanya atas kertas semata-mata. Bila berbelanja, ada sahaja yang tak kena dan tak cukup.

Boleh kata, ada sahaja situasi terdesak yang perlu dihadapi. Asal tengah bulan je, macam-macam masalah datang. Kereta rosak, tayar pancit, maka ribuan ringgit hangus begitu sahaja.

Gambar Hiasan: Clark’s Garage

“Beli mahal-mahal ingat nak bagi aku senang, ini tidak asyik rosak je, haishhh,” getus Megat dalam hati, yang tengah ‘panas’ sebab kena tipu dengan kawan sendiri. Lesap beribu-ribu kerana terpedaya dengan pelaburan entah apa-apa.

Tiba sahaja hujung bulan, tahu-tahu duit poket dah kering. Rasa gelabah pun mula menyerang, takut-takut kualiti hidup terjejas. Lagi pula, malulah nanti pakai kereta conti tapi isi minyak kuning. Nanti orang cakap apa pula kan?

Maka, dengan muka setebal 14 inci, nak tak nak kena juga dia meminjam. Walaupun gaji cuma lagi seminggu, tetapi bil makan di restoran mahal-mahal, nak isi kereta dengan minyak hijau, seminggu boleh cecah lima enam ratus juga. Mujur, ada kawan yang sudi membantu, sekurang-kurangnya Megat merasai dirinya masih dirahmati dengan kawan-kawan yang ada ketika susah senang hidupnya.

“Megat, aku nak cakap sikit ni, tapi kau okay je kan,” tanya Syafiq.

“Apa dia Fiq, benda apa ni kau nak tanya. Ni, terima kasih weh, bagi aku pinjam duit, aku dah serabut sangat dah ni,’’ balas Megat, sambil berusaha menyembunyikan rasa segan.

“Kau kan, gaji belas-belas ribu. Jawatan besar, tapi aku tengok selalu ada benda tak kena. Muka tak pernah tak berkerut, kau tengah hadap masalah apa ni? Aku bukan nak masuk campur, just nak tahu. Sebagai kawan,’’ soal Syafiq lagi.

“Ermm..aku nak cakap pun tak tahu macam mana. Gaji lima angka aku nih, tapi hujang bulan mesti sengkek. Bila buat bajet, semua ngam elok.

“Tapi, ada je benda tak terjangka jadi. Ada je masalah nak pakai duit itu ini. Entahlah weh, gaji tak berkat kut. Kau rasa macam mana?”, luah Megat.

Gambar Hiasan: Mediacorp

Syafiq merenung dalam wajah Megat, lalu terpacul satu soalan “Kau cuci harta kau tak?”.

“Cuci harta? Apa kau merepek ni, tak faham aku. Orang tengah ada masalah ni, kau main-main pulak,” tinggi sikit nada Megat.

“Bayar zakat la maksud aku…zakat harta, ada tak?”.

Rasa terpukul dan betul-betul tersentap Megat bila diajukan soalan sedemikian rupa.

“Zakat fitrah tu ada la. Setiap kali Ramadan aku tak pernah missed bayar untuk anak bini. Tapi zakat harta tu, aku tak pernah Fiq. Tak pernah aku cek kena bayar zakat harta ke tak, asal ada duit lebih je, aku belanja untuk enjoy jela, bawa anak bini jalan-jalan, bercuti.

“Kau rasa, sebab tu ke hidup aku jadi macam ni. Tak ada keberkatan?’’, soal Megat dengan penuh tanda tanya.

“Eh kau ni, aku bukan ustaz. Mana aku tahu. Tapi, mungkin jugalah. Apa kata kau mula bayar zakat harta. Bila kau dah jalankan tanggunjawab kau ni, kau doa banyak-banyak, minta Allah beri keberkatan dekat rezeki kau dan bagi rasa cukup. InsyaAllah, mana tahu hidup kau lebih baik lepas ni,’’ kata Syafiq.

“Hurmm, kau tolong aku Fiq, macam mana aku nak bayar zakat ni, aku tak pernah ambil tahu pun pasal zakat harta,’’ pohon Megat.

Gambar Hiasan: Penny Appeal

“Mudah je sebenarnya. Kau boleh bayar zakat harta ni melalui potongan bulanan. Tiap-tiap kali gaji kau masuk, terus potong siap-siap. Tak payah pening kepada dah. Gaji pun berkat, InsyaAllah.

“Nak buat pun mudah je, sekarang semua benda online. Kau apply pemotongan zakat bulanan ni dekat Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP). Meh aku tunjuk, buat terus sekarang la eh, benda baik jangan tangguh-tangguh.

“Mula-mula, kau kena isi Borang Potongan Gaji Online. Borang ni kau boleh dapatkan secara online dekat ptg.zakat.com.my. Di bahagian Jenis Permohonan, kau pilih Baru, lepas tu pilih Sektor Pekerjaan, macam kau swasta so pilih Swasta la, then kau isi semua maklumat yang diperlukan.

“Bila kau buat potongan gaji macam ni, nanti potongan zakat ni akan tertera pada slip gaji dan boleh diselaraskan dengan Potongan Cukai Bulanan (PCB). Ada banyak faedah bila kau buat potongan macam ni. Kau boleh dapat rebat cukai pendapatan, perbelanjaan pun lebih terancang. Jadi, kau tak adalah masalah-masalah macam hujung bulan tak cukup duit.

“Lahhh, senang je rupanya. Tapi, berapa aku nak kena potong ni Fiq. Aku bukan tahu sangat,’’ tanya Megat sambil menggaru-garu kepala yang tak gatal.

“Itu semua kau tak payah pening, kau boleh guna kalkulator yang disediakan oleh PPZ-MAIWP ni https://www.zakat2u.com.my/kiraan/zakat/pendapatan. Kat sini, kau ikut je kaedah pengiraan yang disediakan, nanti kau tahu la berapa kau nak potong’’ kata Syafiq sambil menghulurkan tablet yang dipegangnya.

“Lagi satu Megat, sekarang ni PPZ-MAIWP tengah buat Kempen Jom Potong, iaitu kempen potong zakat pendapatan secara bulanan. Kempen ini bermula daripada 1 Jun hingga 31 Disember ini dan ada banyak hadiah menarik yang ditawarkan tau.

“Mana tahu, kau isi sekarang, salah satu hadiah-hadiah ni mungkin menjadi milik kau Megat,” ujar Syafiq dengan penuh keterujaan.

“Alhamdulillah, nasib baik kau ada Syafiq. Nampak sikit cahaya hidup aku ni. Aku berikrar nak bayar zakat pendapatan selalu, nak cuci harta aku biar berkat. Mujur boleh buat potongan secara bulanan,’’ senyum Megat.

“Tak apa kawan, kita sama-sama saling mengingatkan.”

Buat anda diluar sana, jadikan kisah Megat sebagai teladan. Sekiranya anda sudah mampu, usah lagi bertangguh. Tunaikan tanggungjawab membayar zakat pendapatan anda. Ia mampu membawa sinar kepada mereka yang memerlukan.

Setiap tahun, jumlah asnaf semakin bertambah, apatah lagi kita baharu sahaja melalui tempoh pandemik yang meletakkan ramai saudara-saudara seagama dalam kedudukan terdesak. Maka, bantuan yang perlu disalurkan oleh MAIWP juga semakin bertambah.

Ayuh, tunaikan tanggungjawab anda. Buat Potongan Zakat Bulanan secara atas talian disini.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.