Penglihatan merupakan salah satu nikmat yang sangat bernilai, pancaindera ini membolehkan seseorang menikmati bibit-bibit warna yang terdapat pada setiap objek di muka bumi.
Masalah penglihatan mampu menyukarkan kehidupan seharian, lagi-lagi apabila seseorang individu pernah merasai nikmat penglihatan yang baik sebelum ini.
Baru-baru ini, Siakap Keli melaporkan kisah sepasang ibu bapa yang sanggup melakukan ‘grand voyage‘, yang berkemungkinan ‘kali terakhir’ sebelum anak-anaknya dijangka akan hilang penglihatan sepenuhnya pada masa akan datang. Tiga daripada empat anaknya didiagnosis dengan masalah penglihatan retintis pigmentosa.

BACA JUGA: Pilu Dapat Tahu Anak Bakal Buta, Ibu Ayah Tekad Bawa ‘Travel’ Keliling Dunia Sebagai Visual Terakhir
Kisah keluarga ini untuk mengumpulkan sebanyak mana ‘memori visual’ kepada anak-anak yang bakal buta telah memberikan rasa perit terbuku di dada, disulami dengan rasa ‘terkilan’ kerana tidak sempat menikmati kurniaan Tuhan dengan sebaiknya.
Selain diselubungi rasa hiba, ada di antara kita mungkin berkongsi nasib yang sama. Masih ramai yang tercari-cari punca bagi masalah ini. Oleh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi laman portal kesihatan MyHealth telah menyenaraikan punca-punca masalah penglihatan, mari kita telusuri perkongsian di bawah.
Keluasan pandangan dan tahap penglihatan yang normal sangat penting dalam menjalani kehidupan harian. Apabila keluasan pandangan atau dikenali sebagai medan penglihatan menjadi sempit, aktiviti harian seperti penjagaan kebersihan diri, membaca, memandu dan aktiviti orientasi dan mobiliti akan terganggu. Contohnya :
“Saya tidak perasan kereta di tepi ketika memandu menyebabkan saya hampir kemalangan,”
“Setiap kali saya masuk ke bilik yang agak gelap, saya tidak nampak objek di sekeliling saya, sedangkan kawan saya boleh nampak, mengakibatkan saya kerap terlanggar objek tersebut,”
“Saya melihat seperti tabir turun dan menghalang sebahagian daripada medan penglihatan saya,”
“Saya melihat tompokan hitam di bahagian tengah bahan bacaan saya,”
Apa Itu Medan Penglihatan?
Medan penglihatan merupakan luas kawasan yang dapat dilihat oleh mata termasuklah bahagian sisi. Ia terbahagi kepada dua jenis iaitu monokular (satu mata) dan binokular (dua mata).
Medan penglihatan monokular adalah luas pandangan yang menjangkau 60° ke atas, 70° ke bawah, 60° ke hidung dan 100° ke telinga1. Manakala medan penglihatan binokular pula merangkumi luas pandangan yang dapat dilihat oleh kedua-dua mata secara serentak iaitu sebanyak 120°.



Medan Penglihatan yang Normal
Bagi penglihatan yang normal, sebarang objek yang dilihat akan dipancar melalui kanta kristalin ke retina mata. Kemudian ia akan melalui saraf optik mata dan juga optic chiasm sebelum diproses di otak untuk menghasilkan imej.
Sebarang penyakit atau lesi yang berlaku pada retina atau di laluan tersebut akan menyebabkan medan penglihatan seseorang terganggu.
Bagaimana Mengukur Medan Penglihatan
Medan penglihatan dapat diukur dengan menjalani beberapa ujian. Ujian ini dapat mengukur medan penglihatan bahagian tengah dan sisi pesakit. Ia perlu dilakukan secara berasingan pada setiap mata.
Ujian medan penglihatan dilakukan secara subjektif, maka pesakit perlu memberi sepenuh kerjasama dan memahami arahan yang diberikan supaya keputusan ujian adalah tepat.
Terdapat beberapa jenis ujian medan penglihatan bergantung kepada jenis penyakit dan keperluan iaitu :
(1) Ujian saringan medan penglihatan asas dikenali sebagai Ujian Konfrontasi (Confrontation test). Ia dijalankan dengan pesakit memandang lurus dan mengira jari pemeriksa yang ditunjukkan dari bahagian sisi.
Sekiranya pesakit tidak dapat melihat jari pemeriksa, maka ujian medan penglihatan komprehensif akan dilakukan.

(2) Ujian carta Bjerrum merupakan ujian yang mudah dan cepat bagi menguji medan penglihatan sentral sehingga 30°. Semasa ujian dijalankan, pesakit perlu duduk pada jarak 1 atau 2 meter daripada carta, bergantung kepada saiz carta Bjerrum tersebut.

(3) Ujian medan penglihatan komprehensif (ujian perimetri) menggunakan mesin Automated Visual Field seperti Humphrey Field Analysis dan Octopus.

(4) Ujian menggunakan carta Amsler Grid akan dilakukan jika pesakit mengadu gangguan penglihatan di bahagian tengah semasa membuat kerja pada jarak dekat seperti membaca.
Ujian ini dilakukan sekiranya pesakit disyaki menghidap penyakit mata pada bahagian makula atau sekitarnya sehingga 10°. Ujian dilakukan pada jarak 30cm dari pesakit, maka cermin mata jarak dekat perlu dipakai bagi pesakit yang mempunyai Presbiopia.


Terdapat 4 jenis gangguan medan penglihatan yang utama
(1) Gangguan medan penglihatan di bahagian altitudinal (atas atau bawah, melibatkan bahagian horizontal).

(2) Gangguan medan penglihatan bitemporal hemianopia / binasal hemianopia (bahagian kiri dan kanan penglihatan binokular).

(3) Gangguan medan penglihatan di bahagian tengah.

(4) Gangguan medan penglihatan homonymous hemianopia (di bahagian yang sama pada kedua-dua belah mata).

Penyakit yang Menyebabkan Gangguan Medan Penglihatan
Antara penyebab utama gangguan medan penglihatan adalah seperti berikut :
(1) Glaukoma
Penyebab kebutaan kedua tertinggi di dunia.
Merupakan satu penyakit saraf optik yang kronik dan progresif dengan tekanan di dalam mata yang tinggi dan dalam kebanyakan kes tidak menyebabkan sakit pada mata.
Sekiranya tidak dirawat, boleh merosakkan saraf optik secara perlahan-lahan sehingga mengakibatkan kebutaan yang kekal.
Medan penglihatan pesakit glaukoma:

(2) Retinitis Pigmentosa
Penyakit keturunan yang menyebabkan kehilangan medan penglihatan periferi pada kedua-dua mata secara perlahan-lahan.

(3) Lekangan Retina
Retina (lapisan tipis tisu saraf yang melapisi dalam mata dan amat sensitif pada cahaya) lekang dan terangkat daripada kedudukan asal. Jika tidak dirawat dengan segera, ia akan menyebabkan kehilangan penglihatan yang kekal.
Medan penglihatan yang terjejas bergantung kepada bahagian retina yang lekang dari kedudukan asal.

(4) Tumor Pada Bahagian Otak
Jenis-jenis gangguan medan penglihatan yang berlaku adalah bergantung kepada di mana tumor tersebut berada.
Contoh:

(5) Degenerasi Makular Berkaitan Umur (ARMD)
Disebabkan oleh kerosakan makular (tempat paling sensitif di dalam mata yang membolehkan seseorang melihat dengan jelas dan terperinci).
Bermula dengan perubahan bentuk objek yang dilihat seperti garisan lurus dilihat menjadi bengkok. Lama-kelamaan berubah menjadi bayang hitam yang boleh menjadi semakin besar dan mengganggu pandangan.
Pandangan sentral pesakit akan menjadi kabur dan terganggu.

(6) Macular Hole
Lubang yang terjadi pada bahagian makula menyebabkan pandangan sentral kabur, bengkok dan berombak.

(7) Optic Neuritis
Jangkitan pada saraf optik menyebabkan pandangan kabur dan gangguan kepada medan penglihatan.

(8) Retinopati Diabetik
Kerosakan pada retina yang disebabkan oleh komplikasi penyakit diabetes.

Nasihat & Panduan
Gangguan medan penglihatan boleh terjadi kepada semua peringkat umur, daripada peringkat kanak-kanak hingga dewasa. Oleh itu, pengesanan awal amatlah penting supaya rawatan yang sesuai dapat diberikan bagi mengelakkan gangguan medan penglihatan yang lebih serius.
Pemeriksaan mata tahunan merupakan salah satu cara untuk mengesan gangguan medan penglihatan. Sekiranya anda mengesyaki terdapat masalah pada medan penglihatan, segeralah berjumpa dengan Optometris atau Pakar Mata untuk mendapatkan pemeriksaan mata.
Rujukan
- http://www.eyecalcs.com/DWAN/pages/v3/v3c049.html#r1
- Jay WM. Visual Field Defects. Am Fam Physician,1981 Aug; 24(2):138-42. Abstrak diambil daripada http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/7258077
- List of 31 causes of Visual field defects. Dipetik dari http://www.rightdiagnosis.com/symptoms/visual_field_defects/causes.htm
- In focus (2004). Glaucoma is second leading cause of blindness globally. Bulletin Of The World Health Organisation, 82(11)887. Dipetik dari http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2623060/pdf/15640929.pdf
- Gary H. Eight Ways to Protect Your Eyesight. Dimuat turun dari http://www.allaboutvision.com/over60/vision-changes.htm
- http://pixshark.com/visual-field-test-confrontation.htm
- http://www.aao.org/image/tangent-screen
- http://killinglyeyecare.com/technology/technology-glaucoma-management/humphrey-visual-field/
- http://www.eyereview.com
- http://www.eyeoneyecare.in/images/glaucoma
- https://en.wikipedia.org/wiki/Visual_field
- http://www.rnib.org.uk/sites/default/files/blurred_vision.jpg
- http://www.myhealth.gov.my/index.php/my/dewasa-glaukoma
- http://www.parekheyehospital.com/patientEducation/Glaucoma
- http://www.unil.ch/files/live//sites/dgm/files/shared/monna_lisa
- http://womensvoicesforchange.org/for-save-your-vision-month-a-guide-to-eye-emergencies.htm
- http://www.myhealth.gov.my/index.php/my/lekangan-retina
- http://www.blindness.org/retinitis-pigmentosa
- http://fce-study.netdna-ssl.com/images/upload-flashcards/back/9/4/59749980_m.jpg
- http://www.myhealth.gov.my/index.php/my/degenerasi-makula-berkaitan-dengan-usia-armd
- https://nei.nih.gov/health/macularhole/macularhole
- http://chicagoretinavitreous.com/sites/default/files/machole-eye-vision
- http://www.allaboutvision.com/conditions/optic-neuritis.htm
- http://imgarcade.com/1/optic-neuritis
- https://faculty.washington.edu/chudler/gif/diabrp.jpg
Sumber: Portal Rasmi MyHealth