Kentang merupakan salah satu sumber karbohidrat bagi hidangan Barat. Terdapat pelbagai juadah yang berasal daripada kentang seperti kentang goreng, kentang putar dan lain-lain. Di Malaysia, hidangan berasaskan kentang mendapat sambutan daripada masyarakat.
Manakan tidak, kebanyakan restoran makanan segera menampilkan juadah ini dalam menunya pada masa kini. Dikatakan, rakyat Malaysia akan menjamah hidangan berasaskan kentang sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Walau bagaimanapun, kentang tidak memiliki aura seperti makanan ruji masyarakat Asia iaitu nasi. Nasi boleh dimakan dengan pelbagai lauk dan dimasak dengan variasi resepi. Kentang pula tidak memiliki fleksibiliti seperti nasi, dan apabila dimakan terlalu kerap, kita akan menjadi bosan dan tidak menjamah lagi.
Jangan risau. Hari ini kita akan mempelajari satu resepi berasaskan kentang, yang mana hidangan ini jarang disajikan di mana-mana restoran makanan segera di Malaysia. Ikutilah perkongsian komprehensif daripada Puan Siti Hazneza binti Abdul Hamid, menerusi hantarannya di Facebook dalam kumpulan Makan Apa Hari Ni (MAHN).
Kentang Putar Terlalu ‘Mainstream? Mari Beralih Kepada ‘Jacket Potato’ Dengan Ikuti Resepi Ini
‘Jacket potato’ atau ‘baked potato’ merupakan makanan jalanan di Britain semasa musim luruh dan musim sejuk.
Kentang yang dibakar adalah jenis Russet kerana isinya yang gebu dan saiznya yang besar.
Biasanya kentang yang telah dibakar akan dibelah tengah dan isinya ‘digaru-garu’ (fluffed) sebelum diletakkan bersama kacang panggang atau pun tuna di atasnya.
Saya kira apabila hidangan ini sampai ke Amerika Syarikat, mereka jadikannya hidangan ini lebih berat dan mewah dengan tambahan keju dan sebagainya.
Jika ditanya apa sayur-sayuran yang suka dimakan oleh kebanyakan kanak-kanak, kentanglah jawapannya.
Walaupun ia berada dalam keluarga sayur-sayuran, ubi kentang berkanji dan kaya dengan karbohidrat. Lebih kurang macam nasilah jika disamakan dengan konteks masyarakat Asia..
Jika kentang dibakar begitu sahaja, ia boleh dikatakan sebagai satu juadah yang sihat. Tanpa melengahkan masa, selamat mencuba resepi ini.
Bahan-bahan:
Bahan A:
- 7 biji kentang
- minyak
- garam (secukup rasa)
Bahan B:
- 1 labu bawang besar saiz kecil – dicincang halus
- 1 sudu makan oregano
- 1 sudu teh serbuk lada hitam
- 1 sudu teh serbuk stok ayam
- 3 ulas bawang putih – dicincang halus.
- 1 biji telur
- 3 sudu makan mayonis
- 2 sudu makan cuka
- 2 sudu makan marjerin
- 2 sudu makan susu suam
Cara-Cara Membuatnya
1) Penyediaan Kulit Jacket Potato
Pertama, bersihkan ubi kentang dengan menggunakan air bersih dan cucukkannya dengan menggunakan garfu.

Kemudian, lumurkan kentang yang telah dicucuk-cucuk sebentar tadi dengan campuran minyak dan garam, sehingga lumuran tersebut menyelaputi kentang-kentang itu.
Setelah selesai melumur kentang-kentang tersebut, bakar di dalam ketuhar pada suhu 180°C/ 350°F selama satu jam dengan tetapan api pada bahagian atas dan bawah ketuhar.

Selepas kentang selesai dibakar, keluarkan kentang daripada ketuhar. Gunakan penyepit untuk mengambilnya kerana suhunya sangat panas bagi kedua-dua belah ubi kentang tersebut.
Seterusnya, belahkan kentang-kentang tersebut pada bahagian yang lebih lebar. Hal ini adalah untuk memastikan kentang-kentang tersebut tidak mudah bergerak-gerak selepas dipotong separuh.

Dengan menggunakan sudu, korek pada bahagian tengah ubi kentang dan ambil kesempatan ini untuk menyusunnya di atas dulang.
2) Penyediaan Isi Jacket Potato
Semasa proses mengorek isi kentang, pastikan ada sedikit isi kentang yang ditinggalkan kira-kira ¼ inci pada kulit ubi kecuali bagi dua biji kentang bakar (isinya diambil secara sepenuhnya).

Bagi isi ubi kentang yang telah dikorek sebentar tadi, tambahkan bahan B dan adunkan sehingga sekata.
Setelah diadunkan bersama, pastikan adunan tersebut dilenyek sehingga halus.. Jika anda hendak mendapatkan variasi warna pada hidangan ini, anda boleh tambah hirisan daun bawang dan cili benggala merah yang dicincang.
Isikan adunan kentang lenyek tadi ke dalam kulit ubi yang telah disusun rapi dengan menggunakan sudu.

Anda juga boleh letakkan keju pada bahagian atasnya seperti keju cheddar, keju sandwich dan mozarella.
Hiriskan keju dalam bentuk dadu dan taburkannya ke atas permukaan kentang lenyek yang terdapat pada kulit ubi kentang tersebut. Bakar semula di dalam ketuhar selama 15 minit.

Untuk pengetahuan, rasa keju boleh berbeza-beza mengikut tahap pembakarannya. Jika anda mahukan rasa garing sedikit, bakar sehingga terdapat tompok-tompok perang pada permukaannya.
Jika anda gemarkan keju dalam bentuk cairan dan meleleh sahaja, rasanya akan jadi lebih berkrim.
Tambahan: Penyediaan Bagi Pelengkap Juadah
Sebagai sampingan, saya cuma memasak sosej yang dikelar-kelar dalam bentuk X. Anda juga boleh menghiris sosej nipis-nipis dan gorengkannya. Kemudian, hancurkan sosej tadi dan tabur di atas kentang tadi. Rasanya sangat rangup.

Begini rupanya selepas dihidangkan dan kelihatan lebih berselera untuk dijamah. Padanan kentang jaket dan sosej merupakan satu kombinasi yang lengkap dan mengenyangkan. Disebabkan makanan ini dihidangkan kepada rakyat Malaysia, maka terdapat unsur lokaliti yang tidak lari daripada hiasan sos cili.

Menurut Puan Siti Hazneza, hidangan ini adalah untuk lima orang iaitu satu biji kentang untuk satu individu. Jika juadah ini dijadikan sebagai pembuka selera, resepi ini boleh menjamah kira-kira sepuluh orang, iaitu separuh kentang bagi seorang individu.
Diharapkan resepi ini dapat memberikan anda inspirasi untuk meningkatkan lagi kemahiran kulinari anda.
Resepi ini juga dapat mengurangkan kecenderungan kita untuk membeli juadah di luar dan mengawal pengambilan gula, garam dan bahan perasa dalam diet seharian dengan lebih efektif.
Sumber: Siti Hazneza Abdul Hamid via Makan Apa Hari Ni (Facebook)