Pernah Cipta Model Roket Sendiri, Budak Lelaki 9 Tahun Tular Ajar Subjek Astronomi Di Sekolah
Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun tular selepas mengajar subjek astronomi kepada rakan sekolahnya di China baru-baru ini, lapor South China Morning Post.
Menurut laporan televisyen tempatan, Yan Hongsen yang digelar sebagai “Rocket Boy” merupakan pelajar darjah tiga di sebuah sekolah di Shaoxing, wilayah Zhejiang, timur China.
Difahamkan, dia telah diberikan peluang untuk mengajar pelajar di sekolahnya mengenai sains angkasa sewaktu majlis perasmian penggal baharu persekolahan.
“Pada tahun baru persekolahan, saya ingin mengajar lebih banyak kelas astronomi kepada rakan kelas saya dan mahu belajar perkara baharu,” katanya sewaktu ditemubual oleh CCTV.

Guru Yan, Lao Chunyan berkata bahawa dia sangat berterima kasih kepadanya dan rakan sekelasnya kerana berkongsikan minatnya itu.
“Jika mempunyai sebarang persoalan, rakannnya akan mencari Yan,” katanya.
Yan mula meminati bidang astronomi selepas pergi melihat pelancaran Satelit Penderia Jauh Venezuela-2 di Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di Mongolia sejak lima tahun lalu.
Sejak itu, ibu bapanya menyokong minat anak mereka dengan membelikan buku, membina ruang tamu sebagai balai cerap dan membawanya ke muzium.
“Apa sahaja hobi anak saya yang dianggap logik, ibu bapa perlu memberikan sokongan,” katanya.

Terdahulu, Yan menjadi perhatian apabila membetulkan kesilapan fakta dalam sebuah dokumentari planetarium pada Julai lalu selepas video itu dikongsikan oleh bapanya.
Sebagai seorang peminat astronomi sejak berumur empat tahun, Yan telah menjelaskan kesalahan mengenai sebuah roket Long March 3 yang telah disalah ertikan sebagai roket Long March 5 dalam dokumentari yang ditayangkan kepada pengunjung di planetarium di Lhasa, Tibet.
“Saya bercita-cita untuk membina sebuah roket saya sendiri,” katanya selepas videonya tular.
Untuk makluman, Yan telah mengunjungi sebanyak 22 planetarium dan muzium sains di seluruh China. Tambahan lagi, dia juga telah mencipta model roketnya sendiri serta mengajar kelas dalam talian untuk peminatnya.
Dianggarkan lebih 214,00 pengikut yang mengikuti kanak-kanak lelaki berkenaan di platform aplikasi video, Douyin, yang dikongsikan bapa kanak-kanak terbabit.
Sumber: South China Morning Post