Jepun Siap Sedia Dibadai Taufan Nanmadol, Diletak Kategori ‘Sangat Berbahaya’
Agensi cuaca Jepun pada hari ini memberi amaran tentang taufan “sangat berbahaya” yang sedang menuju ke pulau Kyushu di selatan negara itu dan menggesa penduduk untuk berpindah sebelum angin kuat melanda kawasan itu.
Taufan Nanmadol membawa angin ribut pada kelajuan sehingga 270km pada hari ini berhampiran pulau terpencil Minami Daito, 400km timur pulau Okinawa, kata agensi cuaca itu.
Ribut itu dijangka menghampiri atau sampai ke daratan pada Ahad di wilayah selatan Kagoshima di Kyushu, kemudian bergerak ke utara pada hari berikutnya sebelum menuju ke pulau utama Jepun.
“Terdapat risiko ribut yang kuat belum pernah berlaku sebelum ini, ombak tinggi, lonjakan ribut dan rekod hujan,” kata Ryuta Kurora, ketua unit ramalan Agensi Meteorologi Jepun kepada pemberita.
“Amaran berjaga-jaga diperlukan, kerana ia adalah ribut taufan yang sangat berbahaya,” katanya sambil menggesa penduduk berpindah lebih awal.
Kurora juga berkata, agensi cuaca berkemungkinan akan mengeluarkan amaran tertinggi untuk Kagoshima pada sebelah petang.
“Angin akan menjadi sangat kencang sehingga beberapa rumah mungkin akan hancur,” katanya sambil memberi amaran tentang banjir dan hakisan tanah.
Jepun kini dalam musim ribut taufan dan dijangka kira-kira 20 ribut terjadi dalam tempoh setahun. Secara rutin akan menyaksikan hujat lebat yang menyebabkan tanah runtuh atau banjir kilat.
Para saintis berkata perubahan iklim meningkatkan tahap ribut dan menyebabkan cuaca ekstrem seperti gelombang haba, kemarau dan banjir kilat menjadi lebih kerap.
Awal bulan ini, Jepun dilanda Taufan Hinnamor, memaksa berpuluh penerbangan dibatalkan dan beberapa kilang juga turut menghentikan operasi mereka.
BACA: Menabung Tiga Tahun, Suami Isteri Beli Toyota Rush Bayar Guna Duit Syiling Penuh 9 Balang Air
Sumber: AFP