Diisytihar Pupus 70 Tahun Lalu, Cheetah Dilapor Kembali Ke India
Citah atau Cheetah telah dibawa kembali ke bumi India pada Sabtu lalu setelah lebih 70 tahun diisytihar pupus pada tahun 1952, lapor BBC News.
Difahamkan, sebanyak lapan ekor haiwan liar itu dibawa masuk ke dalam negara itu bersempena ulang tahun Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Kawanan itu bagaimanapun perlu menjalani kuarantin selama sebulan sebelum dibebaskan di Taman Negara Kuno. Tambahan lagi, sebuah kandang elektrik, dengan 10 petak telah dibina untuk haiwan itu sewaktu kuarantin.

Dianggarkan sekurang-sekurangnya 20 citah akan dibawa masuk ke India dari Namibia, Afrika Selatan yang menjadi habitat asli kepada lebih satu pertiga daripada 7,000 haiwan itu di muka bumi.
Pemindahan itu merupakan kali pertama karnivor besar dari Namibia dibawa dari benua ke benua yang lain dan diperkenalkan semula di habitat liar.
Bagi proses pemindahan pertama, sebanyak lima ekor betina dan tiga jantan yang berusia dua hingga enam tahun tiba di bandar Gwalior, India yang dihantar dari Windhoek, Namibia Sabtu lalu.
Selepas itu, helikopter digunakan bagi melakukan pemindahan haiwan pemangsa itu menuju ke Taman Negara Kuno di negeri Madhya Pradesh sebelum dilepaskan oleh Perdana Menteri India.
Usaha India tidak hanya berhenti di situ apabila negara itu turut mendatangkan pakar hidupan liar, doktor veterinar dan tiga ahli biologi dalam usaha mengembalikan haiwan yang telah pupus di negara berkenaan.
Taman Negara Kuno yang seluas 748.5 kilometer persegi itu merupakan lokasi perlindungan yang luas dengan mangsa seperti antelop dan babi hutan yang sesuai untuk makanan citah.
Citah merupakan haiwan darat terpantas di dunia. Mereka mampu berlari dan mencapai kelajuan 113 kilometer per jam.

Terdahulu, citah tinggal bersama kucing besar yang lain seperti singa dan harimau dalam hutan namun pupus sejak 70 tahun lalu. Pemburuan haram dan kekurangan makanan nyata telah membawa kepada kepupusan haiwan itu di India.
Menurut kajian, sekurang-kurangnya 200 ekor citah dibunuh oleh pengembala biri-biri dan kambing di India sewaktu zaman penjajahan.
Sumber: BBC News