Seorang lelaki sanggup menyamar sebagai pegawai polis ketika datang ke sebuah rumah warga emas sebelum melarikan wang tunai sebanyak RM318,000 dalam kejadian di Aichi, Jepun dua minggu lepas.
Tidak cukup menipu kononnya sebagai pegawai polis, suspek tersebut yang berusia lingkungan 50-an turut membawa lari jongkong emas daripada peti besi keselamatan milik mangsa tersebut.
Menurut sumber polis, segalanya bermula apabila suspek membuat panggilan kepada mangsa dan mengatakan, “Berita mengenai wang palsu saat ini telah menjadi topik hangat.
“Saya ingin anda berhati-hati dan kami akan mengunjungi rumah puan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Difahamkan, mangsa yang menerima panggilan itu ialah seorang warga emas berusia lingkungan 80 tahun dan beberapa minit kemudian, suspek akhirnya tiba di rumahnya.
Semasa memeriksa kandungan peti besi keselamatan milik mangsa, mangsa mengalihkan pandangannya ke arah lain buat seketika.
Difahamkan, peti besi keselamatan itu terkandung pelbagai harta bernilai tinggi iaitu wang tunai RM318,000 serta jongkong emas seberat 1.5 kilogram dengan anggaran nilai sekitar RM395,000.
Namun malangnya, semasa mangsa mengalih perhatiannya ke tempat lain, suspek serta-merta bertindak membawa lari wang tunai dan jongkong emas tersebut.

Proses siasatan & memburu suspek giat dijalankan
Berdasarkan kenyataan pihak polis, suspek tersebut memiliki tubuh bersaiz sederhana, mengenakan kemeja putih lengan pendek, berseluar hitam, memakai pelitup muka, dan membawa beg sandang hitam.
Selain itu, pihak polis juga giat melakukan siasatan mengenai kes kecurian tersebut.
Di samping itu, banyak rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar lokasi kejadian turut diperiksa oleh pihak polis untuk membantu siasatan.
Pada masa yang sama, pihak polis turut cuba menjejaki keberadaan suspek bersama petunjuk-petunjuk mengenainya.
Kisah polis palsu di serata dunia

Sebelum ini, Siakap Keli pernah melaporkan kejadian polis palsu yang berlaku di bandar Banka, Timur Laut India. Menurut laporan, penyamar itu terdiri daripada enam individu yang mengenakan pakaian seragam polis palsu.
Yang lebih menghairankan, kesemua mereka siap membina ‘balai polis’ sendiri. Kewujudan balai polis palsu ini adalah untuk melakukan aktiviti jenayah seperti memeras ugut penduduk tempatan untuk mendapatkan wang.
Sumber: Tribun News