Siakap Keli
solusi kek tingkat ketika delivery
Gambar: Twitter

Rahsia Kek Tingkat Tak Tunggang-Langgang Ketika ‘Delivery’, Bekas Arkitek Kongsi Solusi

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Setiap kali beli kek di kedai, kita mesti rasa takut nak gerak lebih-lebih. Takkan kita nak bagi hasil penat lelah abang kakak baker yang sudah lukiskan aising cantik-cantik dekat atas kek kita ‘hilang’ begitu sahaja.

Ada yang berpendapat, “Alah, kek lawa-lawa macam mana pun, masuk dalam perut jugak.” Tak! Bayangkan anda mahukan sajikan sesuatu makanan pada hari istimewa anda, mesti anda mahukan semuanya indah-indah belaka.

Masalah untuk membawa kek agar hiasannya tidak rosak boleh dikatakan sudah lama berlaku. Walau bagaimanapun, ada seorang penjual kek, yang dahulunya merupakan arkitek berkongsi cara bagaimana memastikan kek buatannya tidak tunggang terbalik.

Individu yang bernama Zuhair Shaid dikatakan mula menjual kek secara serius pada hujung 2018 secara sambilan. Bekas arkitek ini membuat pelbagai jenis kek dan antara yang lazim dibuatnya ialah kek perkahwinan.

Gambar: Twitter

Kebanyakan kek yang dibuatnya sangat tinggi dan sudah semestinya, proses penghantaran dan pengendaliannya boleh menyebabkan kita ‘termenung’ seketika. Sepotong kek dalam kotak kecil pun susah nak jaga, inikan pula kek yang memiliki ketinggian lebih daripada 50 cm.

Disebabkan rasa seriau untuk memberikan tugasan sukar ini kepada orang lain, Zuhair membuat keputusan untuk menghantar hasil seninya itu sendiri kepada klien.

Terdapat satu pengalaman ketika beliau dalam perjalanan untuk menghantar kek buatannya di satu kawasan yang berbukit-bukau. Setelah sampai ke tempat acara, kek buatannya menjadi senget dan beliau terpaksa membetulkannya serta-merta. Walaupun hasil kerosakan tidak terlalu kritikal, pengalaman itu membuatkan dirinya murung seminggu.

Secara keseluruhan, kek tersebut dalam keadaan yang baik sahaja tetapi disebabkan dirinya diselubungi rasa bersalah, Zuhair memberitahu kliennya bahawa dia akan ‘belanja’ kek pada masa hadapan. Klien tersebut faham akan situasi tersebut dan gembira atas servis yang diberikan oleh beliau.

Usaha untuk mengatasi masalah ini

Berbalik pada 2019, Zuhair telah menghubungi seorang rakannya yang merupakan seorang tukang kayu di Flatpak. Rakannya yang dikenali sebagai Glo, telah membantunya untuk membuat satu papan kek yang dibuat khas. Hal ini berpunca daripada masalah-masalah yang dihadapi semasa proses penghantaran kek kepada klien.

Kredit: Twitter

Disebabkan semua barangan memiliki jisim, semua objek di dunia tidak dapat lari daripada impak inersia, iaitu kecenderungan sesuatu objek untuk mengekalkan keadaannya sama ada dalam keadaan pegun atau bergerak. Disebabkan inersia, kek yang dibawanya akan mudah menggelongsor, terutamanya ketika kenderaan yang membawa kek itu berhenti.

Oleh itu, Zuhair memberikan bayangan bahawa papan keknya perlu lebih berat untuk memastikan ia tidak mudah bergerak dan kek perlu disambungkan sekali dengan papan kek supaya ia tidak menggelongsor.

Menurut beliau, terdapat satu cara yang digunakan di luar negara. Mereka menggunakan sejenis kotak kek yang direka khas untuk menghantar kek yang tinggi. Asalnya, Zuhair ingin membeli kotak ini tetapi beliau mendapati ia tidak efisien disebabkan pembeli harus memulangkan kotak kek itu semula, selain harganya mencecah RM1,000 ke RM2,000.

 

Maka, Zuhair bersama rakannya, Glo membuat keputusan untuk mereka satu papan kek yang berat dan mampu elakkan kek daripada menggelongsor dan tumbang. Berikut merupakan perbincangan dan hasil kek tingkat yang dibuat oleh Zuhair dengan menggunakan papan kek Flatpak.

Gambar: Twitter
Kredit: Twitter
Kredit: Twitter
Kredit: Twitter

Setakat ini, kek-kek yang dihasilkan oleh beliau telah selamat sampai ke beberapa destinasi seperti Johor Bahru, Melaka, Seremban, Genting Highland, Bukit Tinggi dan lain-lain.

Alah membeli menang memakai

Namun begitu, kos pembuatan kek akan meningkat sebanyak beberapa peratus disebabkan papan kek yang direka khas daripada papan lapis MDF berserta kos untuk memotongnya. Perkara ini juga tidak termasuk kos penghantaran yang tertakluk pada destinasi dan berat kek.

Walau bagaimanapun, Zuhair lebih rela membayar kos lebih sedikit demi memastikan hasil karyanya sampai ke klien dalam keadaan yang sempurna. Jika klien bertanya kenapa kek mahal, terangkan sahaja mengapa harganya menjadi sedemikian.

 

Biasanya, klien akan faham bahawa tindakan ini bersifat win – win situation, pihak klien puas hati kerana dapat kek yang sempurna dan pihaknya juga gembira kerana tidak perlu mengurangkan risiko semasa penghantaran.

Selepas penggunaan papan kek yang direka khas ini, peratusan masalah mengenai penghantaran keknya memang turun secara mendadak. Setakat ini, Zuhair mengatakan 99 peratus dan cuma ada sekali sahaja insiden kek tumbang dan kejadian tersebut berlaku disebabkan kecuaian runner.

Untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut mengenai papan kek ataupun tertarik dengan rekaan kek Zuhair Shaid yang sangat menakjubkan, anda boleh menelusuri bebenang ciapan di bawah untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Sumber: @zhrshd91 via Twitter

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma