Siakap Keli
pm akan berucap dalam bahasa melayu di pentas unga
Gambar: Bernama

Ketuai Delegasi Malaysia, PM Akan Berucap Dalam Bahasa Melayu Di Pentas UNGA

Ketuai Delegasi Malaysia, PM Akan Berucap Dalam Bahasa Melayu Di Pentas UNGA

Perdana Menteri Malaysia, Ismail Sabri dijangka akan berucap dalam Bahasa Melayu sewaktu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) buat kali ke-77 di New York pada 23 September ini, lapor Astro Awani.

Difahamkan, beliau akan mengetuai delegasi Malaysia bagi menghadiri perhimpunan itu untuk membincangkan topik seperti inflasi, pandemik COVID-19, krisis di Myanmar dan juga konflik antara Ukraine dan Rusia.

Menurut Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dalam sesi debat umum yang bakal berlangsung dari 20 hingga 26 September ini, Ismail Sabri bakal menyampaikan ucapannya dalam Bahasa Kebangsaan pada 23 September ini waktu tempatan.

“Oleh kerana dunia masih dalam proses pemulihan daripada COVID-19, tentulah ini merupakan sebahagian daripada perkara yang akan ditekankan oleh beliau.

“Ini termasuklah soal bagaimana kita harus memulihkan ekonomi negara kita dan juga sebagai warga dunia, penglibatan kita dalam perkara-perkara mustahak, sebahagiannya melibatkan kita juga seperti inflasi dan keselamatan makanan,” katanya sewaktu sidang media pada Selasa.

Memetik laporan Astro Awani, antara pemimpin yang turut hadir dalam perhimpunan itu termasuklah Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan yang berucap pada Selasa dan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden pada Rabu hari ini.

Selain itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut bersetuju untuk membenarkan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy mengikuti UNGA77 selepas mendapat persetujuan majoriti.

Jelas Saifuddin, keadaan semasa yang penuh dengan pelbagai permasalahan dan cabaran getir, tema yang dibawa pada tahun ini ‘Detik Peralihan: Penyelesaian Transformatif kepada Cabaran Bersaling Kait’ sangat sesuai, lapor Astro Awani.

Sepanjang tiga hari lawatan Perdana Menteri ke New York, beliau dijadualkan berbincang dalam pertemuan dua hala membabitkan rakan-rakan sejawat.

Tambahan lagi, Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, Presiden Palestin Mahmoud Abbas dan Perdana Menteri Belanda Mark Rutte turut dijangka mengadakan pertemuan bersamanya dalam perbincangan empat mata, lapor Astro Awani lagi.

Perdana Menteri juga akan menjadi hos majlis makan malam ‘Keluarga Malaysia’ bersama diaspora Malaysia di New York.

Sumber: AWANI, Bernama

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.