Setiap tahun, Malaysia akan menghadapi fenomena angin monsun Timur Laut pada hujung tahun. Salah satu implikasinya iaitu peningkatan terhadap kekerapan hujan, sekali gus meningkatkan kebarangkalian sesuatu kawasan untuk menghadapi banjir.
Secara umumnya, kita sudah cuba sedaya upaya untuk mencegah kejadian banjir. Manakan tidak, bencana alam ini akan menyumbang ke arah kerosakan infrastruktur, kerugian dan sebagainya.
Walaupun kita sudah mempersiapkan infrastruktur untuk menghalang air banjir daripada memasuki kawasan kita, kita juga perlu bersiap siaga kerana tiada siapa yang mampu memberi jaminan terhadap risiko yang dibawa oleh bencana alam ini.
Oleh itu, pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memberi panduan kepada rakyat Malaysia untuk bertindak mengikut tiga fasa banjir iaitu fasa sebelum, fasa semasa dan fasa selepas menghadapi bencana alam ini.
1. Sebelum Banjir

Sebelum menghadapi insiden banjir, kita perlu membuat persiapan yang sangat rapi. Disebabkan bencana alam ini akan memberikan kerosakan terhadap infrastruktur, wajarlah kita untuk mengutamakan barangan yang penting terlebih dahulu.
Anda diminta untuk menyimpan dokumen penting seperti dokumen pengenalan diri, surat perjanjian dan barangan berharga seperti peranti elektronik ke dalam bekas kalis air.
Bagi peralatan elektrik atau benda-benda yang tidak boleh dimasukkan ke dalam bekas kalis air, anda boleh memindahkan barangan tersebut ke bahagian atas rumah anda seperti tingkat kedua, loteng rumah dan sebagainya. Perkara ini untuk mengurangkan risiko kerosakan yang perlu dihadapi selepas banjir.
Selain itu, kita perlu membuat simpanan air bersih untuk kegunaan mandi dan minum. Hal ini disebabkan, air merupakan keperluan asas manusia dan kita akan mengalami masalah kekurangan air bersih sewaktu bencana alam ini. Bekalan ini juga dapat membantu kita untuk kekal hidrasi semasa menunggu bantuan tiba ke rumah kita.
Seterusnya, peralatan kecemasan dan power bank juga diperlukan untuk menghadapi situasi kecemasan. Anda juga perlu cakna mengenai lokasi pusat pemindahan dan pusat bantuan yang terdekat untuk memastikan anda tahu ke mana hala tuju anda jika ditimpa bencana.
Jika terdapat arahan untuk berpindah ke pusat pemindahan, anda perlu bersiap sedia dengan menyediakan pakaian dan kelengkapan diri yang mencukupi. Sepanjang proses pemindahan, anda juga diminta untuk mematuhi arahan pihak berkuasa.
2. Semasa Banjir

Jika kawasan anda merupakan kawasan berisiko untuk menghadapi bencana alam ini, anda perlu segera berpindah sebelum keadaan menjadi semakin sulit.
Anda juga perlu mengikuti perkembangan semasa menerusi sumber-sumber yang dipercayai seperti kenyataan daripada kerajaan, berita-berita daripada agensi berita dan sebagainya. Jangan mudah percaya terhadap spekulasi mahupun khabar angin yang mungkin menyimpang daripada situasi sebenar yang berlaku di kawasan anda.
Ketika kawasan rumah anda sudah dimasuki air, jangan sesekali sentuh apa-apa barangan elektronik. Walaupun air merupakan konduktor elektrik yang lemah, ia masih boleh memberikan risiko yang besar terhadap nyawa anda.
Bagi sesiapa yang memiliki anak-anak kecil dalam keluarganya perhatikan gerak geri mereka. Elakkan golongan ini daripada bermain dengan air banjir untuk mengurangkan risiko lemas ataupun jatuh sakit.
Semasa dalam pusat pemindahan, mangsa-mangsa banjir diminta agar jangan sesekali pulang ke tempat kediaman tanpa mendapat arahan daripada pihak berkuasa. Anda juga diminta untuk minum air masak atau air yang berbungkus sahaja untuk mengelakkan keracunan makanan.
3.- Selepas banjir

Berikut merupakan perkara yang perlu dilakukan selepas menghadapi banjir. Biasanya pada fasa ini, terdapat banyak sukarelawan yang akan dikarahkan untuk membantu anda membersihkan semula kediaman anda.
Perkara-perkara di atas bukan sahaja tertakluk kepada mangsa banjir sahaja. Sukarelawan yang terlibat dalam misi membersihkan kediaman mangsa banjir juga perlu mengikuti langkah-langkah ini agak tiada kejadian yang tidak diingini.
Senarai kawasan berisiko dan hotspot banjir di Selangor
Bagi penduduk Selangor yang masih tertanya-tanya mengenai risiko banjir di kawasan kediaman anda, pihak Siakap Keli ada mengeluarkan artikel mengenai senarai kawasan yang berisiko dan hotspot banjir di negeri kediaman anda.

BACA JUGA: Bersedia, Ini Senarai Penuh 307 Kawasan Berisiko Banjir & 52 ‘Hotspot’ Banjir Sekitar Selangor
Jika kawasan anda tersenarai dalam senarai lengkap ini, anda diminta untuk melakukan persiapan rapi. Sesungguhnya, mencegah itu lebih baik daripada merawat.
Sumber: Majlis Keselamatan Negara (MKN)