Langkah Sama Seperti AS, Hong Kong Naikkan Kadar Faedah 75 Mata Asas Kepada 3.5 Peratus
Pihak Berkuasa Kewangan Hong Kong (HKMA) telah menaikkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas kepada 3.5 peratus selepas beberapa jam Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) memaklumkan kenaikan kadar pada margin yang sama semalam, lapor CNA.
Kenaikan OPR yang dilaksanakan oleh Dasar monetari Hong Kong itu adalah untuk bergerak mengikut langkah yang sama dengan Amerika Syarikat disebabkan mata wang bandar itu ‘terikat’ kepada dolar Amerika dalam julat ketat 7.75 hingga 7.85 setiap dolar.
Fed memaklumkan kenaikan kadar ketiga berturut-turut itu sebanyak 75 mata asas pada Rabu semalam dan menandakan bahawa kos pinjaman akan terus meningkat sebagai langkah membendung masalah inflasi.
Bank Dunia Beri Amaran, Ekonomi Lebih Kritikal Tahun Depan
Terdahulu dalam laporan SK semalam melaporkan bahawa bank pusat di seluruh negara telah menaikkan kadar faedah tahun ini pada tahap peningkatan yang pernah dilihat sejak lima dekad yang lalu, suatu trend yang mungkin berterusan sehingga tahun depan, lapor The World Bank.
Dalam laporan tersebut, jangkaan trajektori kadar faedah semasa yang dijangka akan meningkat dan tindakan polisi lain berkemungkinan tidak cukup untuk menurunkan kadar inflasi global kembali ke paras yang dicapai sebelum pandemik.
Para pelabur menjangkakan bank pusat akan meningkatkan kadar polisi monetari global hampir kepada empat peratus menjelang tahun 2023, iaitu suatu peningkatan di mana lebih daripada dua mata peratusan berbanding purata pada tahun 2021.
Selain itu, kajian tersebut mendapati bahawa jika tidak terdapat sebarang gangguan atau penangguhan bekalan dan tekanan buruh-pasaran reda, peningkatan kadar faedah itu boleh menyebabkan kadar inflasi teras global (tidak termasuk tenaga) sebanyak kira-kira lima peratus pada 2023 iaitu hampir dua kali ganda daripada nilai purata lima tahun sebelum wabak pandemik.
Sumber: CNA