Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia telah terpilih sebagai Syarikat Penerbangan Kos Rendah Terbaik di Dunia di Skytrax World Airline Awards 2022 untuk tahun ke-13 berturut-turut.
Merujuk carta yang dimuat naik Seasia, AirAsia melakar kejayaan buat negara apabila menjadi satu-satunya syarikat penerbangan tambah murah yang mewakili Malaysia dalam anugerah itu.
Seperti yang dilapor Seasia, kejayaan AirAsia itu turut meraih ucapan tahniah daripada Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob atas penerimaan anugerah tersebut.
Beliau berkata bahawa syarikat penerbangan tersebut telah menjadi pelopor dalam merevolusikan perjalanan kos rendah di Malaysia dan negara-negara di sekitar Asia Tenggara.
Dalam masa sama, perkara itu sekali gus membawa manfaat terhadap sektor pelancongan dan ekonomi yang ketara terhadap negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Skytrax, Edward Plaisted berkata, pihak AirAsia telah memberikan definisi mengenai apa itu perjalanan udara kos rendah di Asia.
Sungguhpun berdepan dengan cabaran pasca-pandemik baru-baru ini, syarikat penerbangan masih menjadi kegemaran banyak pelanggan, ujar Plaisted.
Untuk makluman, penentuan bagi pemenang anugerah-anugerah Skytrax telah ditentukan melalui kaedah soal selidik yang dijalankan terhadap 14.3 juta pelanggan daripada lebih 100 negara.
Mereka telah menilai lebih daripada 300 syarikat penerbangan bermula pada September 2021 sehingga Ogos 2022.
Berikut merupakan kedudukan AirAsia dan beberapa syarikat penerbangan kos rendah daripada pelbagai negara, berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh SeaAsia.
AirAsia mengungguli tempat pertama mewakili Malaysia, disusuli Scoot dari Indonesia; Southwest dari US; Ryanair dari Ireland; IndiGo dari India; Vueling dari Sepanyol; EasyJet dari Switzerland; Jet2.com dari UK; Jetstar dari Australia dan Flynas dari Arab Saudi.

Sumber: Seasia via Facebook