Siakap Keli

Van Putih Tular Milik Polis, Bukan Milik Penjenayah – Polis

Polis menafikan telah menahan van berwarna putih yang didakwa melakukan kegiatan jenayah menculik kanak-kanak di sekitar perumahan murah Dong, Raub seperti yang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp sejak Sabtu.

Ketua Polis Daerah Raub Superintendent Mohd Shahril Abd Rahman berkata van yang tular itu merupakan milik Polis Diraja (PDRM) Raub.

Katanya, Op Tapis sedang dijalankan dan van tersebut telah diinaiki oleh pegawai dan anggota Ibu Pejabat Daerah (IPD) Raub.

“Pada 26 September jam 9 malam, Op tapis oleh IPD Raub telah dibuat dihadapan balai polis Dong.

“Sebuah van dari bahagian siasatan jenayah narkotik IPD Raub telah diletakkan di dalam kawasan Dong dan menyebabkan tular dalam media sosial,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, tular beberapa keping gambar van berwarna putih yang didakwa berlegar-legar di sekitar perumahan murah di Raub yang kononnya bertujuan untuk menculik kanak-kanak.

Dalam mesej tular yang sama, suspek juga didakwa telah berjaya ditangkap polis dan van berkenaan kini berada di Balai Polis Dong.

Polis turut membuat semakan terhadap nombor pendaftaran van yang ditularkan sebelum ini dan mendapati ia didaftarkan atas nama sebuah syarikat yang terletak di Simpang Kallang di Raub Pahang.

Difahamkan, orang ramai mendapati seorang lelaki melayu telah datang ke perumahan murah Dong bagi mengambil peserta rombongan untuk ke Kuala Lumpur anggaran seramai lapan orang.

Namun, Mohd Shahril berkata kenyataan menculik kanak-kanak itu merupakan kenyataan palsu ekoran tiada kes penculikan berlaku di kawasan itu.

“Siasatan telah dibuat dan mendapati tiada jenayah culik kanak-kanak yang berlaku di kawasan pentadbiran balai polis Dong.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang hebahan yang tidak benar,” katanya lagi.

Sumber: Facebook / Polis Daerah Raub

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.