Warga Emas Maut, Kereta Dipandu Rempuh Sofa Sesat Atas Jalan Raya
Seorang wanita warga emas dilapor maut akibat kecederaan selepas merempuh sofa yang berada di tengah jalan raya di Victoria.
Menurut 9 News, wanita yang berusia 74 tahun itu meninggal dunia di hospital dua minggu selepas kemalangan tersebut.
Kemalangan tersebut berlaku ketika dia memandu di Jalan Creamery di Bell Post Hill kira-kira pukul 7.50 malam pada Sabtu, 10 September lalu.
Dia dilaporkan dalam perjalanan pulang dari rumah rakannya dan kereta Kia Rio yang dipandunya kemudian terlanggar sebuah sofa dan seterusnya merempuh sebuah Hyundai i40 yang berada di arah bertentangan.
Wanita itu dikejarkan ke Hospital Alfred dalam keadaan kritikal. Enam hari kemudian, anak lelaki wanita itu membuat gesaan umum untuk mendapatkan maklumat berkenaan bagaimana sofa itu boleh berada di atas jalan.
Dia berkata lagi, keadaan ibunya berada dalam keadaan yang sangat teruk ketika kemalangan itu.
“Dia bagaimanapun masih bertahan, pakar perubatan tidak menyangka bahawa dia boleh selamat sampai ke hospital. Dia kehilangan kakinya,” kata anak lelakinya itu.
Keluarga wanita itu juga mendesak mahukan jawapan tentang keberadaan sofa itu di atas jalan.
Konstabel Kanan Detektif Paul Stokes berkata polis telah menyiasat bagaimana sofa itu berada di atas jalan sehingga seminggu, dan dia yakin sofa itu telah diletakkan di atas jalan itu sebelum kemalangan tersebut berlaku.
Seorang wanita dan dua kanak-kanak yang berada di dalam kereta Hyundai i40 semasa nahas telah dibawa ke hospital dan mengalami kecederaan ringan.
Sesiapa yang mempunyai rakaman ataupun menyaksikan kemalangan itu diminta untuk tampil dan menghubungi polis bagi membantu siasatan.
Sumber: Nine News