Siakap Keli
Sumber : wockhardthospitals

Boleh Bawa Maut, Kenali Penyakit Pneumokokal Yang Mengancam Jemaah Haji & Umrah

Boleh Bawa Maut, Kenali Penyakit Pneumokokal Yang Mengancam Jemaah Haji & Umrah

Jemaah Haji atau Umrah digesa untuk lebih berwaspada berkenaan ancaman penyakit pneumokokal ketika menunaikan ibadah di Tanah Suci.

Dalam perbincangan yang disiarkan di Siakap Keli TV, Prof Dr Zakuan Zainy Deris, Pakar Mikrobiologi Perubatan menyatakan bahawa penyakit pneumokokal merupakan penyebab utama ramai jemaah dimasukkan ke hospital.

“Penyakit pneumokokal merupakan antara faktor utama kemasukan ke hospital di kalangan jemaah. Ia disebabkan oleh bakteria Streptococcus pneumoniae.”

Penyakit yang disebabkan oleh bakteria Streptococcus pneumoniae ini boleh tersebar kepada individu lain semasa batuk atau bersin.

Difahamkan, penyakit ini juga sering dijangkiti jemaah kerana keadaan yang sesak di ruang yang terhad. Keadaan itu mampu meningkatkan potensi jangkitan penyakit jangkitan saluran pernafasan seperti pneumokokal.

Tambahnya lagi, golongan yang berisiko terhadap penyakit pneumokokal ialah kanak-kanak, warga emas dan perokok.

Selain itu, individu yang mempunyai penyakit jantung, asma dan kencing manis juga tergolong dalam golongan berisiko untuk dijangkiti penyakit ini.

Bagaimanapun, penyakit pneumokokal ini boleh dicegah dengan pengambilan vaksin pneumokokal.

“Tapi jangan bimbang, penyakit pneumokokal boleh dicegah. Bakal jemaah Haji dan Umrah disarankan untuk mengambil vaksin pneumokokal,” katanya.

Menerusi perbincangan tersebut juga, Prof Dr Zakuan telah berkongsi gejala atau simptom individu yang dijangkiti penyakit pneumokokal.

Menurut beliau, penyakit pneumokokal merupakan satu penyakit yang serius dan boleh menyebabkan kematian.

Difahamkan, individu yang dijangkiti penyakit ini akan mengalami demam mengejut. Demam mengejut akan menyebabkan pesakit berasa seram sejuk dan menggigil.

Selain itu, pesakit juga boleh mengalami gejala lain seperti myalgia (sakit otot), arthralgia (sakit sendi) dan sakit kepala.

Simptom lain yang boleh dialami oleh pesakit pneumokokal ialah sakit semasa menarik nafas secara mendalam. Perkara ini berlaku kerana terdapat keradangan di selaput paru-paru.

Disamping itu, pesakit juga akan mengalami kesukaran untuk bernafas dan mengalami tchypnea (pernafasan yang cepat dan pendek).

Gejala lain bagi penyakit pneumokokal juga menyebabkan pesakit batuk berkahak yang berterusan (rusty sputum).

Tambahnya lagi, batuk dan demam merupakan gejala biasa yang berlaku di kalangan jemaah.

“Anggota jemaah Haji atau Umrah mungkin pernah mengalami demam atau batuk sebelum ini dan beranggapan bahawa mereka boleh pulih secara sendiri, serta demam dan batuk ini sama sahaja.

Prof Zakuan juga memberi penekanan bahawa walaupun tanda-tanda ringan penyakit pneumokokal seperti demam atau batuk, namun penyakit ini mempu memberikan komplikasi yang sangat teruk.

“Walaupun gejala ringan jangkitan saluran pernafasan ini hampir sama dengan sesetengah penyakit, namun pneumokokal boleh membawa kepada komplikasi serius atau kematian.”

Oleh itu, Prof Zakuan menyarankan pengambilan vaksin kerana mampu melindungi diri daripada penyakit pneumokokal terutamanya bagi jemaah yang pulang dari Tanah Suci.

Anis Annisa