Siakap Keli

Insentif RM5,000 Secara One-Off Untuk Pelajar Universiti, Ini Golongan Yang Layak Dapat

Selepas menamatkan pengajian di peringkat SPM, sudah pasti ramai pelajar yang ingin menyambung pelajaran ke tahap yang lebih tinggi seperti peringkat Sijil, Diploma mahupun Ijazah. Bila sebut pasal sambung belajar, benda pertama yang menjadi perbualan adalah kos yang perlu ditanggung oleh pelajar. 

Bagi tahun pertama di universiti, banyak duit perlu digunakan walaupun ada banyak bantuan kewangan yang disediakan seperti pinjaman pendidikan, biasiswa, zakat dan sebagainya. Bukan semua pelajar bernasib baik mendapat tajaan biasiswa dan tak semua mampu untuk menanggung sendiri semua kos yang ada. 

Seperti Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dalam usaha membantu dari aspek pendidikan anak-anak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan anak-anak veteran ATM, MINDEF ada menyediakan lapan inisiatif bagi meringankan beban keluarga ATM dalam menampung perbelanjaan kos pendidikan anak-anak di peringkat Universiti.

Salah satu inisiatif yang menjadi perhatian adalah Program Dermasiswa Premium berupa insentif RM5,000 yang diberikan secara “one-off” kepada anak-anak ATM dan veteran ATM yang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah. Walau bagaimanapun, ada kriteria yang perlu dipenuhi oleh pemohon yang ingin memohon insentif ini.

Pertama, anda mestilah anak anggota ATM atau Veteran ATM. Seterusnya, hanya yang ingin melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah yang pertama sahaja. Akhir sekali, mendapat tawaran kemasukan ke universiti yang berada di kedudukan 100 terbaik dunia. Ini serba sedikit dapat membantu keluarga ATM menampung kos pendidikan anak-anak.

Bukan itu sahaja, ada tujuh lagi inisiatif lain yang disediakan MINDEF untuk membantu memperkasakan pendidikan keluarga ATM. Antaranya ialah, Pemberian Komputer Riba kepada 150 anak warga ATM, anak warga awam MINDEF dan anak veteran yang menyambung pelajaran di peringkat ijazah di IPTA. Selain itu, Program Sentuhan Elite SPM, Skim Penabungan Anak-Anak ATM Rukun Kelima (SPARK), Program Penajaan Asasi Sastera Bersama UNIRAZAK, Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ATM dan Bantuan Kemasukan ke IPTA.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, inisiatif itu adalah sebahagian daripada pendekatan menambah baik aspek pendidikan dan kebajikan warga pertahanan. MINDEF dan ATM akan terus duduk semeja dengan para pemegang taruh supaya banyak lagi idea serta pandangan untuk menambah baik inisiatif pendidikan ATM dapat diperhalusi bersama seterusnya dilaksanakan pada masa hadapan.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.