Satu Lagi Saluran Paip “Nord Stream” Dilapor Bocor, Kepulan Gas Mendidih Latari Permukaan Laut
Satu lagi kebocoran saluran paip gas bawah laut yang menghubungkan Rusia ke Eropah telah dikesan di Nord Stream di Laut Baltik, lapor pengawal pantai Sweden hari ini.
Memetik laporan AFP, kebocoran keempat itu disedari selepas sebuah kapal penyelamat yang dinaiki pengawal pantai Sweden sedang membuat rondaan di kawasan itu dan mendapati terdapat aliran gas kelihatan di permukaan laut.
“Sehingga kini terdapat dua kebocoran di bahagian Sweden dan dua di bahagian Denmark,” kata pegawai tersebut selepas tiga insiden itu dilaporkan sebelum ini.
Tambah pegawal pantai itu, dia menyedari kebocoran itu sejak Selasa lalu namun tidak dapat memberitahu kejadian itu ekoran tidak pernah dilaporkan sebelum ini.
Pihak berkuasa Sweden sebelum ini telah melaporkan mengenai kejadian yang berlaku pada Nord Stream 1 di timur laut Bornholm manakala pihak berkuasa Denmark pula mengesahkan dua kebocoran berlaku pada saluran paip gas Nord Stream 2 di tenggara pulau itu.
Kebocoran itu telah menyebabkan kepulan gas mendidih di permukaan air selebar ratusan meter hingga mengakibatkan kerja-kerja pemeriksaan struktur berkenaan menjadi mustahil.

Pihak Rusia dan Amerika Syarikat bagaimanapun menafikan bahawa mereka dalang disebalik kejadian yang dipercayai berlaku akibat sabotaj dan mendakwa ia merupakan unsur yang tidak masuk akal.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilaporkan akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan berkaitan perkara tersebut.
Menurut laporan, kebocoran saluran paip yang berlaku di Sweden, pada Nord Stream 1 dan sebuah lagi saluran yang lebih kecil di Nord Stream 2 terletak 1.8 kilometer antara satu sama lain.
Ia menjadi perdebatan dan ketegangan geopolitik sejak beberapa bulan ini selepas Rusia bertindak memotong bekalan gas ke Eropah disyaki sebagai respon terhadap sekatan barat akibat pencerobohan negara itu ke atas Ukraine.
Terdahulu, tiga kebocoran telah dilaporkan berlaku pada awal minggu ini yang disyaki berlaku akibat perbuatan sabotaj.
Saluran paip Nord Stream 1 dan 2 merupakan saluran yang menghubungkan Rusia ke Jerman. Namun kedua-dua saluran paip yang mengandungi milik syarikat gas gergasi Rusia, Gazprom dilaporkan tidak beroperasi buat sementara waktu
Sumber: AFP