Siakap Keli
ulser mulut rupanya kanser
Gambar: FB Dr Ezairy M. Sallih / Woodridge Clinic via Google

“Sedikit Daging Lidah Dihantar Untuk Tujuan…” Wanita Terkejut Ingatkan Ulser Mulut Biasa, Rupanya Doktor Sahkan Kanser

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Kebiasaannya apabila melawat ke hospital atau klinik, pesakit tidak mempunyai jangkaan yang buruk mengenai penyakit yang dihadapi, lebih-lebih lagi kalau ia merupakan penyakit yang kecil seperti ulser.

Namun, tiada siapa yang sangka, penyakit yang dipanggil kecil itu rupanya membawa kepada sesuatu yang besar sehingga mengubah hidup pesakit.

Sebuah penulisan yang dikongsikan oleh Dr Ezairy M.Sallih di Facebook, memberi sedikit kesedaran bahawa sesuatu penyakit itu bila-bila masa sahaja boleh hadir dalam hidup jika dibenarkan oleh Tuhan.

Dalam hantaran itu, beliau yang juga merupakan pakar bedah telinga, hidung dan tekak berkongsi mengenai seorang wanita yang berusia 40-an mengidap penyakit kanser setelah bermula dengan ulser di tepi lidah.

Wanita itu pada awalnya mendapati ulser berada di mulutnya pada bulan lepas sebelum dia tekad berjumpa doktor dengan hasrat untuk mendapatkan ubat ulser.

Namun apabila diperiksa oleh doktor dan sedikit daging lidah dihantar untuk tujuan biopsi serta ujian imbas dilakukan, ujian itu mendapati ianya rupanya sejenis kanser.

“Wanita ini baru usia 40-an. Bulan lepas ada ulser di tepi lidah. Jumpa doktor, kemudiannya dirujuk kepada kami.

“Sedikit daging lidah dihantar untuk tujuan biopsi, ujian scan juga diatur. Malangnya, semua ujian tersebut mengesahkan ia adalah sejenis kanser,” katanya.

Pilu hati apabila dapat tahu hidupnya akan berubah 360 darjah dan dalam masa sebulan juga, kansernya menunjukkan pembesaran dengan cepat.

Dr Ezairy kemudiannya menyegerakan pembedahan untuk wanita itu supaya segala kesulitan dapat dielakkan pada masa hadapan.

“Dalam masa sebulan juga, kansernya membesar dengan agak cepat. Lalu kami segerakan pembedahan untuk beliau,” tambahnya.

Gambar: FB Dr Ezairy M. Sallih

Ujar Dr Ezairy, akhirnya pembedahan itu berjaya dilakukan dengan sempurna dan sel kanser telah dibuang.

“Alhamdulillah, segalanya dipermudah dalam pembedahan selama 10 jam. Bahagian lidah yang ada sel kanser dibuang, tulang rahang yang sudah dimakan sel kanser turut dibuang.

“Lompong yang telah kosong ditampung pula dengan otot pectoralis di bahagian dada. Ditarik ke atas untuk menutupi ruang yang masih tinggal,” kata Dr Ezairy dalam hantaran beliau.

Dr Ezairy turut berpendapat ujian yang dihadapi oleh wanita ini sangat besar kerana beliau turut tidak menyangka dia akan mengidap penyakit kanser setelah membuat pemeriksaan di hospital.

Perasaan sedih menyelubungi diri namun Tuhan yang Maha Besar tidak akan sesekali menghadirkan ujian ke atas hambanya sekiranya hamba itu tidak kuat menjalaninya.

Mengakhiri hantaran itu, Dr Ezairy mendoakan agar wanita tersebut cekal menghadapi ujian hidupnya.

“Saya berharap agar anda yang membaca tulisan saya ini dapat mendoakan beliau. Doakan beliau cekal dan kuat melalui ujian hidupnya,” katanya.

Di kesempatan ini juga, diharap pembaca turut mendoakan kesejahteraan wanita tersebut agar dia sentiasa berada di bawah lindungan-Nya dan dikurangkan rasa sakit serta diberi nikmat hidup yang cukup.

https://www.facebook.com/DrEzairyM.Sallih/posts/pfbid0UipAPrqwHUSoouWkQr2LQCfFwWLC4FMvzYv7ueKHiVohV2fHT2QTkrYDaisTFjbZl

Sumber: Facebook / Dr Ezairy M.Sallih

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.

error: