WHO Dedah 99 Peratus Penduduk Dunia Kini Terdedah Kepada Udara Tercemar
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan hampir keseluruhan manusia atau 99 peratus populasi global hidup dengan menghirup udara tercemar yang berisiko mengancam nyawa ketika ini.
Berdasarkan pemantau kualiti udara yang dibuat ke atas 6000 bandar melibatkan 117 buah negara, didapati warganya menghirup udara tidak sihat yang mengandungi partikel tercemar dan juga nitogen dioksida. Manakala, penduduk di negara berpendapatan rendah dan sederhana didapati mengalami pendedahan tertinggi kepada udara tercemar.
WHO buat pertama kali, pada Mei, memasukkan data lapangan mengenai kepekatan nitrogen dioksida, iaitu pencemaran udara yang biasa ditemui di bandar-bandar, sejak Pangkalan Data Kualiti Udara dilancarkan pada 2011.
Turut direkod adalah ukuran mana-mana partikel tercemar berukuran sama atau lebih kecil daripada 10 μm (PM10) atau 2.5 μm (PM2.5). Kedua-dua kumpulan udara tercemar ini berasal daripada aktiviti manusia yang menglibatkan pengunaan teknologi pembakaran bahan api fosil.
Pangkalan data kualiti udara baharu adalah yang paling meluas dalam memberi liputan pendedahan pencemaran udara di atas muka bumi. Data terbaharu menunjukkan sekitar 2,000 bandar atau penempatan manusia kini merekodkan data pemantauan lapangan untuk bahan zarah PM10 dan PM2.5 berbanding laporan terakhir.
Ini mencatatkan peningkatan hampir enam kali ganda dalam laporan sejak pangkalan data itu dilancarkan 11 tahun lepas. Sementara itu, asas bukti kerosakan yang dilakukan oleh pencemaran udara kepada tubuh manusia telah berkembang dengan pesat dan menunjukkan kemudaratan ketara yang disebabkan pendedahan kepada paras pencemaran udara yang rendah sekalipun.
Partikel tercemar terutamanya PM2.5 mampu menembusi jauh ke dalam paru-paru dan memasuki aliran darah, menyebabkan impak kardiovaskular serebrovaskular (strok) dan masalah pernafasan. Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa partikel tercemar juga boleh memberi kesan kepada organ lain dan punca kepada penyakit lain.
Pencemaran nitogen dioksida dikaitkan dengan penyakit pernafasan, terutamanya asma yang membawa gejala pernafasan seperti batuk, semput atau kesukaran bernafas.
WHO pada tahun lepas telah menyemak semula Garis Panduan Kualiti Udaranya dan menjadikannya lebih ketat dalam usaha membantu negara menilai kesihatan udara mereka sendiri dengan lebih baik.
“Kebimbangan penggunaan tenaga semasa menyerlahkan kepentingan mempercepatkan peralihan kepada sistem tenaga yang lebih bersih dan sihat,” kata Dr Tedros Adhanom Ghbreyesus, Ketua Pengarah WHO.
Sumber: WHO