Ulang-Alik Jaga Isteri Sakit, Warga Emas Maut Nahas Motosikal Semasa Buat U-Turn
Seorang suami yang berkorban menjaga isterinya yang sakit maut dalam sebuah nahas di lampu isyarat Simpang Ampat pada awal pagi tadi, lapor Kosmo.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.30 pagi itu melibatkan mangsa yang berusia 74 tahun yang menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Turut maut dalam kejadian itu adalah seorang pekerja kilang iaitu lelaki berusia 32 tahun.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian itu dipercayai berlaku sewaktu warga emas itu cuba membuat pusingan U di lampu isyarat tersebut untuk menghala ke Alor Gajah.
“Hasil siasatan, pekerja kilang yang menunggal motosikal jenis SYM Jet X Std telah meneruskan perjalanan semasa lampu isyarat berwarna hijau.
“Bagaimanapun tiba-tiba warga emas itu yang datang dari arah Alor Gajah membuat pusingan U, menyebabkan motosikal mereka bertembung,” katanya kepada pemberita.
Kata Arshad lagi, rempuhan itu telah menyebabkan kedua-dua penungang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
Kata beliau lagi, difahamkan warga emas berkenaan menetap di Taman Naning dan berulang-alik ke rumah anaknya di Alor Gajah bagi membantu menjaga isterinya yang sedang sakit.
“Untuk sementara mangsa duduk dengan anaknya di Alor Gajah kerana menjada isterinya yang sakit di sana.
“Rutin harian mangsa dia akan balik ke rumahnya di Taman Naning untuk memberi kucing dan ayam makan, kemungkinan mangsa berpatah balik dan buat pusingan U bagi mengambil barang yang tertinggal,” kata Arshad.
Mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi menjalani proses bedah siasat dan kes nahas itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Kosmo