Siakap Keli
kajian ultrasound manusia benci sayuran hijau
Gambar: Daily Mail/Birla Healthcare

Kajian ‘Ultrasound’ Dapati Manusia ‘Benci’ Sayuran Hijau Sejak Dalam Rahim

Walaupun sajian salad akan membangkitkan selera bagi sesetengah orang, tetapi bagi yang lain, idea mengunyah semangkuk sayur kedengaran lebih sebagai satu ‘hukuman’ atau ‘mimpi ngeri’.

Kini, terdapat satu kajian seperti yang dilapor Daily Mail menunjukkan bahawa bayi-bayi akan memberikan tindak balas berlainan terhadap beberapa rasa yang berbeza, walaupun masih berada dalam rahim ibu mereka.

Pengkaji daripada Durham University mengambil imbasan ultrasound 4D terhadap 100 wanita mengandung untuk melihat bagaimana kandungan mereka bertindak balas selepas didedahkan dengan beberapa rasa makanan yang dimakan oleh ibu mereka.

Hasil kajian menunjukkan rupa janin tersenyum sejurus selepas ibu mereka memakan lobak merah dan menunjukkan rupa ‘masam’ semasa ibunya memakan kubis kerinting. Ini mendapati pemakanan ibu mengandung mungkin mempengaruhi cita rasa bayi mereka selepas dilahirkan.

Jika ini berlaku, hasilnya mungkin mempunyai kesan untuk mewujudkan tabiat pemakanan yang sihat.

Data daripada kajian lepas dan reka bentuk kajian

Kajian lepas telah memberi cadangan bahawa bayi-bayi boleh merasa dan menghidu semasa berada di dalam rahim melalui proses menghidu dan menelan cairan amniotik. Walau bagaimanapun, kajian ini berdasarkan hasil selepas bersalin.

Oleh itu, para pengkaji telah melakukan pengujian sama ada bayi boleh merasai makanan semasa berada di dalam rahim ibu mereka dengan menilai reaksi mereka terhadap rasa makanan.

Pasukan tersebut telah menyenaraikan 100 wanita hamil yang berusia 18 sehingga 40 tahun dan melakukan imbasan 4D ultrasound pada minggu ke-32 dan minggu ke-36 bagi kehamilan.

Wanita itu diberi satu kapsul 20 minit sebelum setiap imbasan yang mengandungi sama ada 400mg lobak merah 400mg serbuk kale dan diminta untuk tidak mengambil sebarang makanan atau minuman berperisa lain yang boleh menjejaskan reaksi bayi.

Gambar hiasan | Shutterstock

Sementara itu, sesetengah wanita dalam kumpulan kawalan tidak mengambil apa-apa kapsul.

Hasil dapatan bagi kajian tersebut

Keputusan menunjukkan bahawa hanya sedikit perisa lobak merah atau kangkung sudah cukup untuk merangsang tindak balas pada janin.

Apabila si ibu mengambil lobak merah, bayi cenderung untuk tersenyum dalam gambar imbasan tetapi apabila mereka mengambil kapsul kangkung, bayi cenderung untuk bermasam muka.

“Ia sangat menakjubkan untuk melihat reaksi bayi-bayi tersebut terhadap rasa kubis keriting ataupun lobak merah semasa imbasan dilakukan dan berkongsi perkara tersebut bersama ibu bapa mereka,” kata ketua penulis, Beyza Ustun.

Selain itu, hasil dapatan kajian tersebut menunjukkan terdapat pelbagai rangsangan kimia melalui diet ibu ke dalam persekitaran janin, menurut Profesor Benoist Schaal dari Universiti Burgundy, pengarang bersama kajian itu.

Reaksi selepas merasai lobak merah | Kredit: FETAP
Reaksi selepas merasai kubis kerinting | Kredit: FETAP

“Ini mungkin mempunyai implikasi penting untuk pemahaman kita mengenai perkembangan reseptor rasa dan bau kita, termasuklah persepsi dan ingatan yang berkaitan,” beliau berkata.

Bukan itu sahaja, hasil kajian mendapati bahawa apa yang dimakan oleh ibu mengandung mungkin akan mempengaruhi cita rasa bayi mereka selepas dilahirkan.

“Kesannya, kami mengandaikan bahawa pendedahan terhadap rasa-rasa makanan secara berkala sakan membantu dalam menetapkan citarasa makanan bayi selepas bersalin, yang mungkin penting apabila bercakap mengenai pemakanan sihat dan potensi untuk mengelakkan anak mereka cerewat dalam memilih makanan,” Ustun menambah.

Pasukan tersebut memulakan kajian susulan terhadap bayi-bayi yang sama selepas mereka dilahirkan. Tindakan ini adalah untuk melihat sama ada reaksi mereka masih kekal semasa mereka berada di dalam rahim atau sebaliknya.

Kesimpulan kajian

Profesor Jackie Bliessett dari Aston University, juga merupakan pengarang bersama bagi kajian ini menyimpulkan: ”Boleh dikatakan bahawa pendedahan perisa ketika pranatal secara berkala boleh membawa kepada mencorak cita rasa yang dialami oleh bayi selepas dilahirkan.

“Dalam erti kata lain, ia mendedahkan janin kepada perisa yang kurang disukai, seperti kangkung, mungkin  mereka akan terbiasa dengan perisa tersebut dalam rahim jika selalu didedahkan.

“Langkah seterusnya adalah untuk memeriksa sama ada janin masih menunjukkan kurang tindak balas negatif terhadap perisa ini dari semasa ke semasa. Ini disebabkan penerimaan yang lebih besar terhadap perisa tersebut apabila bayi mula-mula merasainya sendiri di luar rahim,” katanya.

Sumber: Daily Mail

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma