Kepada mana-mana wanita hamil yang bakal menjadi ibu tidak lama lagi, berikut adalah senarai kos bersalin di hospital kerajaan untuk tahun ini.
Sudah semestinya banyak perkara yang perlu difikirkan oleh bakal ibu ataupun ayah bagi persediaan menyambut kehadiran si kecil. Misalnya, daripada aspek keperluan fizikal bayi termasuklah baju, lampin dan sebagainya.
Tidak dilupakan juga persediaan dalam membuat kira-kira atau anggaran kos yang diperlukan oleh si ibu sepanjang menjelang proses kelahiran. Pengiraaan atau penetapan anggaran ini mampu memberi persediaan awal kepada si ayah dari aspek kewangan.
Tahukah anda, kos untuk bersalin di hospital kerajaan sebenarnya sangat mampu milik dan dipercayai mampu dibiayai oleh sesiapa sahaja. Tidak kurang juga, prosedur persediaan sebelum, semasa dan selepas bersalin juga agak mudah dilakukan.
Berapa sebenarnya caj bagi kos bersalin di hospital kerajaan? Berapa pula bayaran wad per hari? Kalau anda nak tahu, laman kesihatan Hello Doktor telah pun membuat perkongsian mengenai kos bersalin bagi hospital kerajaan.
Artikel ini penting bagi mana-mana pasangan yang bakal menjadi mama atau papa tidak lama lagi. Bak kata orang, bersedia awal, barulah tak kalut. Semoga perkongsian ini bermanfaat.
Bakal Ibu, Ini Kos Bersalin Di Hospital Kerajaan 2022, Sedia Awal Tak Kalut!

Bercadang untuk melahirkan anak di hospital kerajaan, tetapi berapa agaknya kos bersalin hospital kerajaan 2022 ini ya?
Untuk bakal ibu ayah yang sedang membuat persiapan bagi menyambut kelahiran bayi, terutamanya berkaitan kos yang perlu disediakan, teruskan membaca perkongsian artikel ini.
Bersalin di hospital kerajaan
Sebelum anda mengetahui bajet untuk bersalin di hospital kerajaan, jom lihat dahulu apakah antara langkah penting yang perlu dilakukan.
Dalam kesibukan melakukan persiapan bagi menyambut kelahiran si kecil – pakaian, katil dan buaian serta pelbagai barangan lain – anda juga harus memikirkan mengenai kos yang perlu disediakan untuk proses beranak nanti.
Umumnya jumlah kos adalah berbeza mengikut pilihan sama ada untuk bersalin di hospital swasta atau kerajaan serta memilih kaedah kelahiran yang bakal dilalui nanti, seperti bersalin normal, caesarean atau kelahiran normal dengan bantuan.
Melahirkan anak di private hospital pastinya menjadi idaman ramai bakal ibu kerana kelengkapan yang tersedia. Namun hospital kerajaan yang ada di Malaysia juga tidak kurang hebatnya – lengkap dengan segala peralatan perubatan dan kakitangan terlatih.
Kos bersalin hospital kerajaan 2022 juga biasanya lebih murah berbanding swasta, justeru turut menjadi antara faktor utama pemilihannya sebagai lokasi untuk melahirkan anak.
Biasanya bakal-bakal ibu yang memilih untuk beranak di hospital kerajaan harus mempunyai buku pink atau buku Rekod Kesihatan Ibu – yang berfungsi merekodkan kesihatan ibu dan bayi sepanjang tempoh kehamilan.
Jumlah kos bersalin hospital kerajaan 2022
Seperti yang dinyatakan pada awal-awal tadi, bayaran untuk bersalin di hospital kerajaan ini biasanya tidaklah begitu membebankan.
Berikut dikongsikan anggaran kos yang perlu disediakan oleh bakal parents:
Caj rawatan bersalin:
Jenis rawatan | kelas Satu | kelas Dua | Kelas Tiga |
Bersalin biasa | RM 450 | RM 150 | RM 10 |
Bersalin kembar | RM 600 | RM 200 | RM 50 |
Bersalin dengan bantuan (Forcep/songsang/vakum) | RM 600 | RM 200 | RM 50 |
Pembedahan Caesarean | RM 1,200 | RM 400 | RM 100 |
Kos bersalin hospital kerajaan 2022 #Caj bilik prosedur:
Jenis rawatan | Harga |
Bilik bersalin (setiap kemasukan) | RM 120 |
Dewan bedah (setiap kemasukan) | RM 120 |

Caj wad awam:
Caj wad sehari per individu | Bilik tidak berhawa dingin | Bilik berhawa dingin |
Kelas Satu – Bilik 1 katil | RM 90 | RM 120 |
Kelas Satu – Bilik 2 katil | RM 60 | RM 90 |
Kelas Satu – Bilik 3 katil | RM 45 | RM 60 |
Kelas Dua | RM 25 | RM 40 |
Kelas Tiga | RM 3 | RM 3 |
Apa yang dikongsikan di atas hanyalah anggaran kos bersalin di hospital kerajaan secara umum tidak termasuk caj ujian makmal, x-ray, pembedahan dan bayaran prosedur klinikal, harga sebenarnya akan dicaj kepada bakal parents mungkin berbeza mengikut hospital.
Kos bersalin hospital kerajaan 2022: Fahami prosedurnya
Kini anda sudah mengetahui kos bersalin yang perlu disediakan dan bolehlah untuk mula merancang hospital pilihan, seperti Hospital Shah Alam mahupun Hospital Sungai Buloh. Sebaiknya lokasi pilihan adalah berdekatan dengan kediaman anda.
Tetapi sebelum itu, terdapat beberapa prosedur yang perlu ibu hamil fahami. Berbeza dengan hospital swasta, di hospital kerajaan, bakal ibu hanya akan dibenarkan untuk masuk ke wad setelah terdapat tanda-tanda melahirkan anak.
Jika di atas dikongsikan kos bersalin hospital kerajaan, ini pula prosedur yang perlu dilalui:
Pendaftaran
Bakal ibu boleh terus ke unit bersalin dan mendaftarkan diri. Selain daripada beg barangan anda,dokumen yang wajib dibawa bersama adalah:
- Kad pengenalan atau passport
- Buku pink
- Surat rujukan doktor (jika ada)

Pakaian hospital
Selepas pendaftaran selesai, bakal ibu diberikan pakaian hospital berwarna pink dan akan diminta melakukan ujian air kencing.
Pemeriksaan awal
Beberapa prosedur pemeriksaan awal yang perlu dijalani seperti tekanan darah, suhu dan nadi. Anda juga mungkin akan ditanyakan mengenai simptom bersalin yang dialami oleh kakitangan perubatan.
Kos bersalin hospital kerajaan 2022 #Pemeriksaan serviks
Lebih dikenali dengan panggilan seluk faraj, tujuan ia dilakukan adalah untuk menentukan bukaan serviks – saluran kelahiran, kedudukan bayi dan sebagainya.
Pada dasarnya, pemeriksaan vagina atau vaginal examination (VE) melibatkan doktor untuk memasukkan jari ke dalam faraj bagi mengetahui proses pembukaan serviks atau dalam bahasa mudah, bukaan rahim.
Bagi ibu yang pertama kali melalui proses ini, anda mungkin akan berasa gementar dan ia adalah perkara normal. Sebaiknya, cuba untuk bertenang, okay?

Fasa Kelahiran
Anda akan memasuki fasa kelahiran apabila bukaan serviks mencapai bukaan kira-kira 10cm – keadaan ini dikenali sebagai pelebaran serviks – dilating – sehinggalah bayi selamat dilahirkan.
Discaj
Biasanya ibu dan bayi akan dibenarkan pulang selepas tempoh sehari, terutamanya bagi yang melalui prosedur bersalin normal serta tidak mengalami sebarang komplikasi. Ketika inilah pembayaran kos bersalin hospital kerajaan 2022 perlu diselesaikan.
Jika terdapat sebarang pertanyaan, anda disarankan untuk menghubungi terus hospital kerajaan yang menjadi pilihan lokasi bersalin bagi mendapatkan lebih kepastian.
Semoga persediaan anda untuk melahirkan anak nanti akan berjalan lancar!
Jangan bimbang. Ikuti topik hangat dan bertukar cerita dengan bakal ibu yang lain. Sertai Komuniti Kehamilan!
Sumber: Hello Doktor