Makan Sebelum Bersenam, Atau Selepas Lagi Cepat Kurus? Ini Jawapan Yang Ramai Tak Tahu
Terdapat segelintir individu yang berpendapat bahawa melakukan “workout” dengan perut kosong menyebabkan lebih banyak pembakaran kalori.
Apabila kalori terbakar dengan lebih banyak, sudah pasti mereka beranggapan berat badan akan menurun dengan lebih cepat.
Walaupun terdapat banyak kajian yang membuktikan bahawa bersenam tanpa mengambil makanan akan membakar lebih banyak lemak tetapi kita perlu fahami keseluruhan kajian tersebut kerana ia tak semudah yang disangka.
Pembakaran lemak bukan sahaja dilakukan ketika bersenam tetapi juga perlu dilakukan selepas selesai bersenam supaya pembakaran lemak akan terus berlaku dalam tempoh waktu yang panjang.
Namun, adakah benar bahawa melakukan senaman dengan perut kosong akan membantu pengurangan berat badan dengan lebih cepat atau hanya rekaan semata-mata?
Hello Doktor ada membuat perkongsian mengenai bersenam dengan perut kosong lebih cepat kurus atau sebaliknya seperti berikut:
Melakukan senaman itu penting. Tetapi benarkah jika tidak makan sebelum bersenam dapat membantu mengurangkan lebih berat badan?
Nak tahu jawapannya? Ayuh teruskan membaca perkongsian artikel ini untuk penjelasan mengenai persoalan tersebut.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Badan Sihat, sila dapatkannya di sini.
Tidak makan sebelum bersenam bantu turunkan berat?
Menjaga kesihatan adalah mustahak dan bersenam adalah antara cara untuk melakukannya.
Namun kita sering disogok dengan pelbagai petua dan nasihat berkaitan senaman, seperti bersenam dengan perut kosong akan mempercepatkan penurunan berat badan. Adakah ia berkesan?
Umumnya, melakukan aktiviti fizikal semasa perut kosong dikenali sebagai puasa kardio (fasted cardio).
Teorinya adalah badan akan menggunakan lemak serta karbohidrat yang disimpan sebagai tenaga dan bukannya melalui makanan baru dimakan – sekali gus membawa kehilangan lemak lebih tinggi.
Berdasarkan kajian yang dilakukan pada tahun 2016, menunjukkan manfaat bersenam dalam keadaan berpuasa dari aspek pengurusan berat badan.
Hasil penyelidikan melibatkan 12 lelaki ini mendapati mereka yang tidak mengambil makanan sebelum bersenam akan membakar lebih banyak lemak dan mengurangkan pengambilan kalori dalam tempoh 24 jam.
Pun begitu, ada kajian yang menyangkal hasil dapatan tersebut.
Melalui penyelidikan pada 2014 ke atas 20 wanita mendapati tiada perbezaan ketara dalam perubahan komposisi badan antara kumpulan yang makan atau tidak makan sebelum melakukan senaman.
Sebagai sebahagian daripada kajian, penyelidik mengambil ukuran berat badan, peratus lemak badan dan lilitan pinggang selama 4 minggu. Pada akhir kajian, kedua-dua kumpulan telah menunjukkan kehilangan berat badan dan jisim lemak.
Ini bermakna lebih banyak kajian mendalam untuk jangka masa lebih lama perlu dilakukan untuk mengembang dan mengesahkan penemuan ini.
Tidak mengambil makanan sebelum bersenam juga mengakibatkan tubuh menggunakan protein sebagai bahan api. Ini boleh menyebabkan badan kurang protein yang diperlukan untuk membina dan membaiki otot selepas bersenam.
Di samping itu, menggunakan lemak sebagai tenaga tidak semestinya bermakna anda akan mengurangkan keseluruhan peratusan lemak badan atau membakar lebih banyak kalori.
Selamat ke tidak makan sebelum bersenam?

Walaupun terdapat penyelidikan yang menyokong untuk bersenam semasa perut kosong, ia tidak bermakna tindakan tersebut sesuai untuk dilakukan.
Apabila melakukan aktiviti fizikal dengan perut kosong, anda mungkin membakar sumber tenaga berharga dan akan mengakibatkan diri mempunyai stamina yang kurang.