Kuala Lumpur, 5 Oktober 2022 – AmanahRaya Trustees Berhad (ART), anak syarikat milik penuh Amanah Raya Berhad hari ini telah menyampaikan bayaran zakat perniagaannya berjumlah RM561,241.25 kepada Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP). Serahan ini merupakan zakat perniagaannya bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2021.
Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan 2021 yang bertempat di Wisma AmanahRaya tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ART, Yang Berusaha Encik Zainudin Suhaimi kepada Ketua Pegawai Eksekutif, PPZ-MAIWP, Yang Berusaha Tuan Haji Abdul Hakim Amir Osman. Majlis turut disaksikan dan diiringi oleh Pengerusi ART, Yang Berbahagia Dato’ Professor Dr. Noor Inayah Ya’akub bersama Ahli Lembaga Pengarah ART.
Yang Berbahagia Dato Professor Dr. Noor Inayah Ya’akub dalam ucapan aluannya berkata, “Agihan zakat ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat di mana keuntungan pendapatan yang diperoleh dapat dikongsi dengan golongan yang memerlukan. Melalui inisiatif ini juga, ART berharap bantuan kewangan yang disalurkan kepada masyarakat yang kurang berkemampuan sedikit sebanyak dapat membantu memperbaiki kualiti kehidupan golongan asnaf di sekitar Wilayah Persekutuan.”
Tambah beliau lagi, “Penyerahan zakat perniagaan ini adalah merupakan hasil keuntungan ART bagi tahun 2021 yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang dengan peningkatan keuntungan lebih 12 peratus berbanding tahun 2020.”
Majlis hari ni turut dihadiri oleh lebih enam puluh orang pegawai ART dan PPZ- MAIWP.