Siakap Keli
keranda batu mesir purba ditemui
Gambar: National Geographic via Daily Mail

Keranda Batu Mesir Purba Berusia 3,000 Tahun Ditemui Dalam Keadaan Bersih

‘Terbaring’ selama beribu-ribu tahun, sebuah keranda batu seorang individu dipercayai bangsawan berpangkat tinggi ditemui di tapak ruang pengebumian Mesir purba berhampiran Kaherah, lapor Daily Mail.

Wakil penyelidik Profesor Ola El Aguizy yang menemukan keranda batu itu berkata dengan penemuan tersebut beliau berharap akan mendapat petunjuk mengenai pemerintahan Mesir purba selepas era Maharaja Tutankhamun.

Difahamkan, keranda itu dipercayai berusia sehingga 3,300 tahun dan merupakan milik Ptah-em-wia yang dikatakan pernah berkhidmat sebagai ketua perbendaharaan di bawah Ramses The Great.

Ahli arkeologi Universiti Kaherah berkata hieroglyphs yang berada pada keranda batu berkenaan memperakui ianya adalah Ptah-em-wia ekoran gelaran tersebut turut terdapat pada dinding makam itu sendiri.

“Ia menunjukkan bahawa dia merupakan seorang bangsawan dan agak rapat dengan raja kerana gelarannya berkaitan dengan kuil berjuta tahun di Thebes.

“Gelaran itu membuktikan dia mempunyai peranan yang sangat penting dalam pentadbiran dan boleh disamakan dengan menteri kewangan pada masa kini,” katanya memetik Daily Mail.

National Geographic dedah penemuan keranda batu

Gambar: National Geographic via Daily Mail

Sebelum ini, penemuan keranda batu Mesir purba pernah didedahkan dalam siri keempat Lost Treasures of Egypt yang ditayangkan di National Geographic pada hari Ahad.

Penemuan keranda batu dalam keadaan yang ‘baik’ merupakan perkara yang jarang berlaku di kawasan perkuburan Saqqara.

Menurut Kementerian Pelancongan dan Antik Mesir, walaupun keranda batu itu ditemui dalam keadaan baik namun sebahagian penutupnya telah terputus dan ditinggalkan di sudut bilik.

Ini menunjukkan perompak kubur dipercayai pernah memecah dan merompak keranda batu tersebut ekoran kumpulan itu amat aktif pada zaman itu.

Walau bagaimanapun, keranda batu yang menempatkan Ptah-em-wia tidak dirompak dan ia merupakan kubur asal di mana ia ditemui.

Sementara itu jurucakap kumpulan arkeologi Mesir El Aquizy berkata keranda batu yang ditemui itu merupakan contoh yang baik ditunjukkan oleh kerajaan baru untuk golongan elit.

“Ciri-ciri muka dan janggut mendedahkan juga kemahiran seni yang bagus dari kerajaan baru dan menunjukkan kedudukan tinggi si mati,” katanya lagi.

Penemuan itu akan dikaji dan didedahkan keseluruhan kisah kehidupan Ptah-em-wia untuk tontonan National Geographic.

Sumber: Daily Mail

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana