Siakap Keli

Viral Reka Bentuk Roket Masa Umur 9 Tahun, Rupanya Ayah Jual Kereta Kesayangan Sebab Nak Bina ‘Makmal Khas’ Anak Di Rumah

Sebut sahaja nama al-Khawarizmi, ramai terbayangkan tokoh Islam yang pakar dalam pelbagai bidang. Bukan sahaja alim dalam ilmu syariat, tetapi beliau juga pakar dalam bidang kejuruteraan, kimia, matematik dan astronomi.

Hari ini, nama ‘Khawarizmi’ telah membuka mata orang ramai bahawa tiada usia terlalu muda untuk mengejar cita-cita.

Muhammad Khawarizmi Muhamad Kamalrul Zaman, 13 tahun, telah membanggakan rakyat Malaysia dengan pencapaiannya sebagai perekabentuk roket termuda tempatan sejak berusia 9 tahun lagi. Video memaparkan kepakaran Khawarizmi menggunakan perisian CAD Fusion 3D untuk mereka bentuk roket, selain memasang dan melancarkan sendiri roket bahan api pepejal telah tular sekaligus melayakkan gelaran ‘Rocketeer Termuda Malaysia” buatnya.

Malah, beliau juga telah menghasilkan aplikasi telefon khusus menggunakan perisian Flutter untuk melancarkan roketnya yang memerlukan gabungan kemahiran coding dan elektronik. Minat mendalam anak itu pada bidang sains juga telah mendorongnya membina game roket sendiri hasil dua tahun belajar secara ‘diam-diam’ dengan menggunakan perisian Unreal Engine.

Gambar: Kamalrul Zaman

Ayah sanggup jual CRV demi sediakan ‘makmal’ khas anak-anak

Mungkin ramai orang tertanya, siapakah yang menjadi pendukung utama pelajar tingkatan satu SMK Dato’ Syed Omar, Alor Setar ini. Tak lain tak bukan, ibu bapalah yang menjadi susuk utama menyokong minat anak muda itu sehingga beliau mampu mengejar cita-cita luar biasanya.

 Bapa Khawarizmi, Muhamad Kamalrul Zaman Zainol merupakan seorang Penolong Pegawai Sains di Jabatan Kimia Malaysia Negeri Kedah. Jelas Kamalrul, beliau seringkali menggalakkan anak-anak melibatkan diri dalam aktiviti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Malah, beliau sanggup melaburkan wang dalam jumlah yang besar termasuk menjual sebuah kereta miliknya bagi membiayai pembelian peralatan dan perisian demi  menyediakan ruang kondusif bagi anak-anak bereksperimen dan mereka cipta projek sains mereka.

Gambar: Kamalrul Zaman

“Sejak anak-anak masih kecil, saya sudah dedahkan mereka dengan aktiviti inovasi seperti memberi tanggungjawab menyelesaikan hal berkaitan programming, membawa mereka melawat Planetarium dan Pusat Sains Negara serta menggalakkan mereka menyertai pameran dan bengkel STEM.

“Saya mengenal pasti bakat dan kecenderungan mereka sejak kecil dan cuba untuk menyokong daripada segi membekalkan bahan, menyediakan bilik khas mini makerspace di rumah yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan dan teknologi.

“Dari segi peruntukan, saya tidak kisah untuk berbelanja lebih untuk aktiviti STEM anak-anak. Malah saya pernah menjual sebuah kereta dan menggunakan wang diperoleh untuk membeli peralatan bahan pembelajaran berkaitan STEM untuk mereka.”

Difahamkan, sekurang-kurangnya RM30k hingga RM40k telah dilaburkan untuk membina ruang mini makerspace tersebut secara berperingkat.

Gambar: Kamalrul Zaman
Gambar: Kamalrul Zaman
Gambar: Kamalrul Zaman

Anak-anak perlukan mentor dalam bidang disukai

Khawarizmi ketika kecil. (Gambar: Kamalrul Zaman)

Jelas Kamalrul, setiap kanak-kanak perlukan mentor untuk mengembangkan potensi mereka.

Apa yang semua kanak-kanak seperti Khawarizmi sangat-sangat perlukan adalah, Mentor dalam bidang ilmu yang dia sukai.

“Jika ada kisah anak-anak dengan kebolehan istimewa menjadi viral di media sosial, saya selalu berbisik di dalam hati, alangkah bagusnya jika ada pakar dalam bidang berkenaan yang tampil membimbing agar kemampuan anak anak tersebut dapat diuruskan secara sistematik. Dalam kes kami, alhamdulillah, dengan rezeki yang ada, sedikit sebanyak saya dapat sediakan fasiliti untuk merangsang kemajuan mindanya agar tidak statik,” ujarnya.

Tambah beliau, kanak-kanak ibarat kapal baru di tengah lautan tanpa haluan jelas. Mentorlah yang menjadi nakhoda untuk mengemudi hala tuju mereka ke destinasi sepatutnya.

“Kanak-kanak berbakat ini boleh diumpamakan sebuah kapal yang baru ditemui di lautan tanpa haluan yang jelas. Kapal ini jika dibantu untuk dikemudi dengan baik, besar kemungkinan ia akan mampu berlabuh di jajahan jajahan baru.”

Gambar: Kamalrul Zaman

Didik anak dengan teladan, ibu bapa perlu mulakan budaya ilmu di rumah

Tidak melupakan peranan ibu bapa, Kamalrul berkata ibu bapa perlu membentuk budaya sihat dalam sesebuah keluarga supaya ia menjadi ikutan anak-anak.

Prinsipnya ialah, mendidik anak-anak melalui teladan. Teladan yang ditunjukkan akan menjadi budaya dalam sesebuah keluarga tersebut. Jika kita berikan teladan yang menggambarkan ilmu adalah penyuluh hidup, maka besar kemungkinan teladan inilah yang akan diserap lalu membentuk pemikiran dan tingkah laku mereka,” tambahnya.

Selain itu, beliau menjelaskan tidak memaksa anak-anak, sebaliknya mengambil pendekatan untuk menjadi penyuntik semangat ketika anak-anak berhadapan masalah semasa menjayakan projek mereka.

Tiada istilah terlalu muda untuk kejar cita-cita

Kesungguhan Khawarizmi dan sokongan ayahnya telah membuktikan kepada kita bahawa tiada cita-cita yang mustahil untuk dicapai, asalkan kita mempunyai keinginan dan keazaman untuk terus maju. Tiada istilah terlalu muda, terlalu tua, terlalu cepat mahupun terlalu lambat untuk kita bangkit mengejar impian sepertimana untaian lagu Siapa Kata, nyanyian Kaka Azraff Ini.

Video daripada Petronas ini mengajar kita bahawa semua orang mempunyai potensi yang luas dengan hanya langit yang membatasi. Oleh itu, hiraukan kata-kata negatif kerana ‘siapa kata’ itu tidak penting, yang penting ialah apa yang kita katakan kepada diri kita sendiri.

Kami yakin, anda juga mempunyai kisah inspirasi seperti adik Khawarizmi. Kongsikan di media sosial anda menggunakan #PETRONASSiapaKata, pasti dapat memberi semangat kepada pengejar-pengejar imipian yang lain. Sama-sama kita ubah impian menjadi realiti.

https://www.facebook.com/petronas/videos/1727714140925597/

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.