Siakap Keli

Kadang Tu Tak Sempat Makan, Ramai Ibu Bapa Sedih Tengok Anak Baru Balik, Kalut Bersiap Ke Sekolah Agama Pula

“Seronoknya jadi budak-budak. Tak ada tanggungjawab. Takde bil nak kena bayar. Takyah susah-susah cari duit. Makan main tidur, tu je kerja setiap hari.”

Mungkin ada sebahagian kita yang pernah terfikir macam ni, kan? Tapi hakikat sebenarnya, jadi budak-budak pun tak semudah itu. Ada juga masalah dan cabaran mereka perlu hadapi setiap hari.

Salah satunya mestilah terpaksa mengangkut beg berat hingga ada yang mencecah 8kg ke sana ke sini. Pagi ke sekolah kebangsaan, petang pula ke sekolah agama. Malah, kadang tu ada yang tak sempat makan tengah hari dengan sempurna dek kesibukan murid dan ibu bapa sendiri.

Kalau dulu, kita pulang ke rumah ada ibu yang menunggu dengan makanan yang dah siap terhidang sebelum ke sekolah agama. Anak-anak sekarang ada yang terpaksa pulang ke rumah transit untuk bersiap sebelum ke sekolah petang pula. Pada usia muda, sudah banyak yang mereka perlu uruskan sendiri.

Bila tahu di sekolah akan diberikan lokar untuk simpan buku anak-anak, baru lah lega sikit. Tak perlu lagi mereka pikul buku ke sana sini atas belakang. Sudahlah badan pun kecil. Beg pun hampir sama berat dengan tuan.

Setelah sekian lama isu ini berlarutan, kini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah tampil dengan tujuh pendekatan untuk mengatasi masalah tersebut.

Pertamanya ialah dengan membekalkan lokar secara berperingkat melibatkan murid-murid di sekolah rendah dua sesi di bawah KPM. Sebanyak 626 buah sekolah melibatkan 249,626 buah lokar akan diedarkan pada fasa 1 tahun ini, diikuti fasa 2 pada 2023.

Bagi sekolah satu sesi pula, murid-murid akan menyimpan buku di dalam laci meja masing-masing khususnya sekolah di 4 JPN iaitu Perlis, Melaka, Kelantan dan WP Labuan.

Selain itu, Kementerian akan menyelaraskan semula jadual waktu supaya mengandungi tiga hingga empat mata pelajaran sahaja sehari mengikut kaedah pelaksanaan yang sesuai bagi sekolah. Sekolah juga diberi kelonggaran untuk menyediakan jadual waktu secara mingguan sebagaimana yang dilakukan sebahagian sekolah pada masa ini.

Bukan itu sahaja, KPM turut menggariskan hanya dua buah buku latihan sahaja dibenarkan untuk setiap mata pelajaran pada satu-satu masa. Malah, buku latihan ini hendaklah kurang daripada 80 muka surat. 

Murid-murid juga hanya dibenarkan menggunakan buku aktiviti yang disediakan KPM manakala buku kerja hanya boleh dijadikan bahan rujukan di luar waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Pada masa sama, Kementerian bakal meneruskan penerbitan buku teks digital di platform Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa). Murid boleh mengakses laman ini menggunakan peranti ketika membuat tugasan di rumah.

Tak terhenti di situ, KPM menggalakkan guru untuk menggunakan pendekatan PdP berpusatkan murid (PBM) di mana sesi pembelajaran tidak terikat di dalam bilik darjah sahaja. Pendekatan ini sekaligus mengurangkan penggunaan buku kerja semasa PdP.

Akhir sekali, Kementerian turut bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) untuk memberi kelonggaran kepada para pelajar untuk memakai uniform sekolah masing-masing ketika menghadiri kelas KAFA.

Inisiatif-inisiatif ini dipercayai dapat mengurangkan beban murid-murid baik dari segi fizikal mahupun kewangan dalam mendapatkan pendidikan bermutu.

Amira

Love yourself.